top of page

Tinggalkan Cara Hidup yang Lama

  • Aug 7
  • 2 min read


“Berkenaan kelakuanmu yang dahulu, kamu menyingkirkan dirimu yang lama, yang dirosakkan oleh hawa nafsu tipu daya;”

Efesus 4:22 (AVB)


Paulus mengingatkan jemaat di Efesus bahawa jika mereka benar-benar telah mendengar ajaran Yesus dan mengenal kebenaran dalam-Nya, mereka harus meninggalkan cara hidup yang lama. Sikap, pemikiran, dan perbuatan yang bertentangan dengan kehendak Tuhan tidak seharusnya lagi menguasai kehidupan mereka.


Orang yang telah bersatu dengan Kristus tidak lagi dipanggil untuk hidup seperti dahulu. Cara hidup lama yang dipenuhi hawa nafsu dan tipu daya hanya akan membawa kepada kerosakan dan kehancuran.


Meninggalkan cara hidup yang lama merupakan tanda perubahan yang nyata dalam kehidupan seseorang yang mengenal Kristus. Perubahan itu bukan sekadar melalui kata-kata, tetapi harus terlihat melalui sikap, pilihan, dan perbuatan setiap hari.


Paulus menegaskan bahawa diri yang lama perlu disingkirkan kerana ia semakin merosakkan kehidupan. Seperti menanggalkan pakaian lama yang kotor, demikian juga kita harus menanggalkan segala tabiat, keinginan, dan kelakuan lama yang tidak berkenan kepada Tuhan.


Ajaran Kristus memanggil kita untuk hidup dalam pembaharuan. Kita tidak boleh terus memelihara kebiasaan lama sambil mengaku bahawa kita telah menerima kehidupan yang baharu. Kehidupan dalam Kristus harus menghasilkan perubahan yang semakin nyata.


Oleh itu, marilah kita memeriksa kehidupan masing-masing. Adakah masih terdapat sifat lama yang kita biarkan menguasai hati, fikiran, dan perbuatan kita? Serahkanlah semuanya kepada Tuhan dan izinkanlah Dia memperbaharui kehidupan kita.


Tinggalkanlah cara hidup yang lama dan hiduplah dalam pembaharuan yang diberikan oleh Kristus.


Doa:

Tuhan Yesus, aku datang kepada-Mu dan memohon agar Engkau memperbaharui kehidupanku. Tolonglah aku menanggalkan segala sifat, tabiat, dan cara hidup lama yang tidak berkenan kepada-Mu. Bentuklah hati dan fikiranku supaya aku dapat menjalani kehidupan yang baharu dalam kebenaran-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus, aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


bottom of page