top of page

Transisi Penyembahan


Yohanes 4:23 - Tetapi saatnya akan datang dan sudah tiba sekarang, bahwa penyembah-penyembah benar akan menyembah Bapa dalam roh dan kebenaran; sebab Bapa menghendaki penyembah-penyembah demikian. 

 

Teks firman di atas merupakan kata-kata Yesus kepada seorang perempuan Samaria. Pernahkah anda terfikir bahawa Yesus akan mengajar tentang penyembahan kepada seseorang yang begitu tidak bermoral? Dalam banyak-banyak orang di Israel, bayangkan bahawa Yesus memilih untuk mengajar tentang penyembahan kepada seorang perempuan Samaria yang hidupnya begitu bertentangan sekali dengan nilai bukan saja pada masa itu tetapi juga pada masa kini. Mengapa Yesus tidak memilih untuk bercakap tentang penyembahan dengan seorang pemimpin agama, atau sekurang-kurangnya dengan rakyat biasa yang mempunyai kesaksian hidup yang lebih baik?

 

Saya berkata begitu kerana perempuan Samaria yang bercakap dengan Yesus ini sudah pernah mempunyai 5 suami dan lelaki yang sedang bersamanya pada masa itu bukanlah suaminya. Bukan itu sahaja, perempuan ini juga anti-sosial. Nampaknya dia sedang mengelak daripada buah mulut masyarakat kerana dia mengambil air di perigi pada waktu tengah hari. Siapakah yang mengambil air pada waktu tengah hari? Kebanyakan wanita pada masa itu mengambil air pada waktu pagi. Walaupun begitu, perempuan Samaria ini telah mendapatkan pelajaran yang paling penting dan bersifat baru daripada Yesus Kristus. 

 

Yohanes 4:23 - Tetapi saatnya akan datang dan sudah tiba sekarang, bahwa penyembah-penyembah benar akan menyembah Bapa dalam roh dan kebenaran; sebab Bapa menghendaki penyembah-penyembah demikian; hal yang Yesus sampaikan ini sebenarnya sungguh-sungguh baru kerana pada waktu itu, umat Israel tidak biasa menyebut Allah sebagai "Bapa". Kedua, penyembahan kepada Allah tidak pernah dilakukan dalam roh. Penyembahan umat Israel secara eksklusif dilakukan secara fizikal dalam Bait Suci Yerusalem. Ketiga, oleh sebab penyembahan dilakukan secara fizikal, maka kebenaran juga secara eksklusif terikat kepada lokasi dan ritual korban dalam Bait Suci Yerusalem yang secara spesifik hanya dilakukan oleh golongan imam Lewi. Jadi, apakah yang Yesus cuba sampaikan di sini?

 

Ya benar, ada transisi penyembahan! Kedatangan Yesus menyebabkan kedatangan transisi ini. Itulah sebabnya Yesus berkata " Tetapi saatnya akan datang dan sudah tiba sekarang... ", menandakan bahawa Yesuslah perintis revolusi yang baru dalam era penyembahan umat percaya. Transisi penyembahan ini membawa ciri yang baru; pertama, ada keintiman yang baru di antara manusia dan Allah sehingga umat yang percaya boleh memanggil Allah sebagai "Bapa". Kedua, penyembahan kepada Bapa tidak lagi terikat kepada lokasi tertentu walau sesuci apa pun lokasi tersebut. Umat percaya boleh menyembah Bapa bersama-sama di mana-mana sahaja. Ketiga, penyembahan kepada Bapa tidak bersifat eksklusif lagi yang mana hanya ritual tertentu dan golongan orang tertentu sahaja yang boleh menyembah. Sekarang, semua orang boleh menyembah Bapa, kerana Yesus Kristus telah menjadi pintu masuk kepada semua keistimewaan ini. 

 

Sekarang, anda dan saya boleh menyembah Bapa dan sudah tentu, perempuan Samaria yang tidak bermoral itu juga termasuk. Apa pun keadaan anda sekarang, seburuk atau sekotor apa pun yang anda rasakan, anda boleh menyembah Bapa kerana nama Yesus Kristus dan karya-Nya di kayu salib. Anda cuma perlu datang kepada Yesus, mengakui segala dosa dan kesalahan anda serta bersetuju dengan firman-Nya bahawa anda tidak dapat memulihkan keadaan anda dengan kekuatan anda sendiri (Mat 11:28-30). Yesuslah sumber kelegaan dan ketenangan.

 

Pr Roy Dinsim

 

bottom of page