top of page

Tubuh Jasmani Hanya Bersifat Sementara

  • 1 day ago
  • 2 min read

 

Dia akan mengubah tubuh kita yang hina ini supaya serupa dengan tubuh-Nya yang mulia, melalui kuasa-Nya yang dapat menaklukkan segalanya kepada diri-Nya. Filipi 3:21 AVB

 

Rasul Paulus ingin memperingatkan semua saudara saudari dalam Kristus di Filipi bahawa keadaan jasmani mereka yang hina di dunia ini hanyalah bersifat sementara. Sebab pada hari Tuhan Yesus kembali tubuh yang lemah dan dapat hancur ini akan diubah-Nya untuk menjadi seperti tubuh-Nya sendiri yang mulia melalui kuasa-Nya yang maha besar.

 

Pada saat yang ditunggu-tunggu itu mereka yang sudah hidup bersatu dengan Tuhan Yesus akan diberi tubuh syurgawi yang mulia oleh-Nya. Tubuh yang ada sekarang akan uzur dimakan usia dan mudah ditimpa penyakit, hawa nafsu serta maut. Apabila Tuhan Yesus datang kembali, Dia akan mengubah seluruh tubuh jasmani kita yang lemah dan fana ini untuk menjadi serupa dengan tubuh diri-Nya yang mulia kerana Dialah Kristus yang memiliki kuasa untuk menaklukkan segala-galanya kepada diri-Nya.

 

Betapa pentingnya kita harus tetap hidup bersatu dengan Kristus selama kita hidup di dunia ini. Sebab apabila Dia datang kelak, Dia akan mengubah tubuh kita supaya segala pengaruh duniawi dengan hawa nafsu akan ditaklukkan. Oleh itu, kita perlu mengingatkan diri bahawa kita tidak lagi hidup sebagai warga dunia tetapi kita hidup sebagai warga syurga.

 

Segala puji kepada Tuhan Yesus kerana kuasa-Nya dapat menaklukkan segala-galanya kepada diri-Nya. Jika Tuhan Yesus berkuasa untuk memerintah seluruh alam semesta, Dia pasti berkuasa untuk mengubah tubuh kita yang hina. Dia memiliki kewibawaan untuk mengatasi dosa, maut dan jasad yang reput. Tetap hidup bersatu dengan Kristus agar apabila Dia datang kembali, kita akan hidup bersama-sama-Nya.

 

Doa:

Ya Tuhan Yesus, aku datang dengan penuh kesyukuran kepada-Mu kerana Engkau menjadikan diriku milik-Mu. Atas kasih kurnia-Mu yang menyelamatkan dan menebus aku, sekarang aku mendapat hidup baru dalam-Mu. Ya Tuhan, inilah aku. Aku menyerahkan diriku sepenuhnya kepada-Mu. Dalam nama-Mu yang maha berkuasa aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


bottom of page