Tuhan Mengurniai Tugas Istimewa Berdasarkan Hati yang Benar
- 9 hours ago
- 2 min read

“…Kepadaku, yang lebih rendah daripada orang salih yang paling rendah, kasih kurnia ini telah diberikan supaya aku pergi menyampaikan perkhabaran kepada bangsa-bangsa asing tentang kekayaan Kristus yang tidak mungkin dapat dicari itu.”
Efesus 3:8 (AVB)
Paulus memberitahu jemaat di Efesus bahawa di antara semua umat Allah, dia menganggap dirinya lebih rendah daripada orang salih yang paling rendah. Meskipun demikian, Tuhan tetap memberikan kasih kurnia kepadanya untuk menjalankan tugas yang sangat istimewa, iaitu menyampaikan perkhabaran Injil kepada bangsa-bangsa asing.
Perkhabaran Injil ini adalah tentang kekayaan Kristus yang tidak mungkin dapat dicari, iaitu berkat rohani yang diterima oleh semua orang yang percaya kepada Tuhan Yesus. Kekayaan Kristus ini melampaui pemahaman manusia dan hanya dapat diterima melalui iman kepada-Nya.
Oleh itu, bagi Tuhan, kelayakan seseorang untuk menjalankan tugas ini bukanlah berdasarkan kepandaian, jawatan, pendidikan, atau kedudukan, tetapi berdasarkan kasih kurnia-Nya dan hati yang rendah di hadapan-Nya. Tuhan memberikan tugas ini kepada orang yang bersedia merendahkan diri, hidup benar, dan taat kepada panggilan-Nya.
Dengan itu, sekiranya kita mahu digunakan oleh Tuhan untuk menjalankan tugas-Nya, kita perlu memeriksa hati kita supaya tetap bersih, benar, dan rendah hati di hadapan-Nya. Tuhan telah mengurniai Paulus tugas untuk memberitakan Injil kepada bangsa-bangsa asing, iaitu perkhabaran tentang kekayaan Kristus yang besar dan tidak terhingga bagi semua orang percaya.
Oleh itu, marilah kita memohon kepada Tuhan supaya Dia membersihkan hati kita daripada segala dosa dan kenajisan. Sebab Tuhan itu kudus; oleh itu, kita juga harus hidup kudus di hadapan-Nya.
Doa: Tuhan Yesus, terima kasih kerana mengamanahkan aku untuk menjalankan tugas memberitakan Injil kepada orang lain. Walaupun aku seorang yang berdosa dan tidak layak, Engkau tetap memberikan kasih kurnia-Mu kepada aku untuk menjalankan tugas yang sangat mulia ini. Di dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie
