Tuhan Yesus Kembali Pada Masa Yang Tidak Tersangka
- Komuniti Digital 05
- Aug 14
- 1 min read

“Tetapi ketahuilah kamu bahawa sekiranya tuan rumah mengetahui masa pencuri akan datang, dia tidak akan membiarkan rumahnya dipecah masuk.” Lukas 12:39 AVB
Tuhan Yesus sekali lagi memperingatkan murid-murid-Nya tentang waktu kedatangan kembali-Nya. Kali ini Dia menggunakan ibarat seorang pencuri supaya para murid-Nya lebih mudah memahami ajaran-Nya. Sebab seorang pencuri akan datang mencuri tanpa memberitahukan masanya kepada tuan rumah itu terlebih dahulu. Sudah tentulah dia akan datang pada waktu yang tidak diketahui oleh tuan rumah.
Ibarat yang digunakan Yesus menjelaskan betapa pentingnya persiapan diri para murid-Nya untuk kedatangan kembali-Nya. Sebagaimana seorang tuan rumah akan berusaha sedaya upaya untuk mengawal rumahnya jika dia mengetahui bila pencuri akan pecah masuk, para murid Yesus juga perlu sungguh-sungguh bersiap sedia untuk kedatangan kembali-Nya yang tidak tersangka.
Begitulah halnya dengan kedatangan kembali Tuhan Yesus kelak. Tiada seorang pun, kecuali Allah Bapa, yang mengetahui waktunya. Oleh itu, semua orang percaya haruslah bersiap sedia setiap waktu agar apabila Dia datang kembali, mereka sudah bersedia menyambut-Nya dengan penuh sukacita. Demikian juga sewaktu Dia datang, tidak ada seorang pun menyesal kerana tidak atau belum bersiap sedia.
Jadi, bersiap sedialah sentiasa kerana Dia datang sebagaimana pencuri datang tanpa diketahui waktunya. Ingatlah petikan firman Allah dalam Lukas 17:34-36 AVB: “Aku berkata kepadamu bahawa pada malam itu dua orang berbaring di atas katil. Seorang dibawa pergi dan seorang ditinggalkan. Dua orang perempuan bersama-sama mengisar gandum. Seorang akan dibawa dan seorang lagi ditinggalkan. Dua orang lelaki bekerja di ladang. Seorang akan dibawa dan seorang lagi ditinggalkan.”
Apakah anda sudah bersiap sedia untuk kedatangan kembali Tuhan Yesus? Memang masa sebenarnya tidak diketahui tetapi pastinya Dia akan datang kembali.
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, ajarlah aku untuk sentiasa hidup akrab dengan-Mu supaya aku diperkenan-Mu. Pada waktu Tuhan Yesus datang kembali, aku sudah bersedia dan tidak akan ditinggalkan tetapi aku akan terangkat untuk bersama-sama dengan-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie
Comentarios