Tumpukan Fikiran Hanya Kepada Apa Yang Baik
- Jun 19
- 2 min read

Akhir sekali, saudara-saudaraku, apa sahaja yang benar, apa sahaja yang mulia, apa sahaja yang adil, apa sahaja yang suci, apa sahaja yang indah, apa sahaja yang dipandang tinggi — jika ada sesuatu yang baik dan jika ada sesuatu yang terpuji — tumpukan fikiran kepadanya. Filipi 4:8 AVB
Akhir sekali Rasul Paulus menggesa saudara saudari dalam Kristus di Filipi untuk menumpukan fikiran hanya kepada apa sahaja yang benar, apa sahaja yang mulia, apa sahaja yang adil, apa sahaja yang suci, apa sahaja yang indah, apa sahaja yang dipandang tinggi — jika ada sesuatu yang baik dan jika ada sesuatu yang terpuji. Orang yang hidup bersatu dengan Tuhan Yesus haruslah mengajar diri mereka untuk mengawal tumpuan fikiran mereka.
Di sini Paulus menyeru orang Kristian untuk menyelidiki apa yang mengalir ke dalam fikiran mereka. Dia memberikan satu penapis mental yang praktikal kepada mereka untuk menilai apa yang dibenarkan masuk ke dalam fikiran. Kita harus bertanggungjawab untuk mengawal minda kita. Tindakan untuk menumpukan fikiran ialah satu pilihan sengaja. Kita bukanlah mangsa yang tidak berdaya. Kita sebenarnya ada kuasa memilih untuk mengarahkan fokus minda.
Secara tidak langsung tumpuan fikiran kepada apa yang baik dan terpuji merupakan jalan kepada sejahtera Allah. Asyik memikirkan kebimbangan, perkara negatif, kegagalan atau kesakitan masa lalu mendatangkan kekecewaan manakala memfokuskan apa yang baik menyelaraskan perspektif kita dengan apa yang diperkenan oleh Allah.
Paulus sedang berada di dalam penjara semasa dia menulis semua ini. Bagaimanapun, dia masih memperlihatkan damai sejahtera yang hanya akan terjadi kerana dia menumpukan fikirannya terhadap kebaikan, janji dan perwatakan Allah yang tidak berubah. Bagaimanakah dengan diri kita? Sebab dalam perjalanan hidup ini pasti akan timbul fikiran jahat yang cuba merosakkan iman kita dengan menimbulkan keraguan dan ketidakyakinan, sehingga kita mungkin mengambil tindakan yang silap.
Marilah kita sentiasa mengarahkan seluruh fikiran kita hanya kepada perkara-perkara yang baik dan yang patut dipuji, iaitu perkara yang benar, yang mulia, yang adil, yang suci, yang indah dan yang dipandang tinggi, supaya kita akan sentiasa menjalani hidup yang menyenangkan hati Allah.
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, ajarlah aku untuk sentiasa mengarahkan seluruh fikiran dan hatiku hanya kepada perkara-perkara yang baik dan yang patut dipuji, iaitu perkara yang benar, yang mulia, yang adil, yang suci, yang indah dan yang dipandang tinggi. Biarlah perjalanan imanku tetap teguh dan tenang. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie




"Tumpukan Fikiran Hanya Kepada Apa Yang Baik" adalah pesan yang sangat kuat dan relevan untuk menjaga kesehatan mental di tengah berbagai tantangan. Ini mengingatkan saya bagaimana kita bisa mengarahkan energi kreatif untuk memvisualisasikan hal-hal yang positif, bahkan dengan alat seperti Anime AI Generator.