Utamakan Allah Dalam Segala Perkara
- 5 hours ago
- 2 min read

“Utamakanlah kerajaan Allah serta perbenaran-Nya; dan semuanya itu akan diberikan kepadamu.” Matius 6:33 AVB
Tuhan Yesus mengajar murid-murid-Nya tentang kekhuatiran hidup dan iman kepada-Nya. Dia menjelaskan bahawa seseorang tidak mungkin mengabdi diri kepada dua orang tuan. Dia akan membenci yang seorang dan mengasihi yang lain, atau dia akan setia kepada yang seorang dan mencela yang lain. Demikianlah mereka tidak dapat menjadi hamba Allah dan juga hamba kekayaan.
Yesus seterusnya memperingatkan murid-murid-Nya supaya tidak khuatir akan hidup mereka, seperti apa yang akan dimakan dan diminum mereka atau apa yang akan dipakai mereka setiap hari. Sebab hidup lebih penting daripada makanan, dan tubuh juga lebih penting daripada pakaian. Yesus pun menyeru mereka supaya tidak khuatir terhadap makanan, minuman, atau pakaian mereka.
Lalu Yesus menggunakan dua contoh untuk menegaskan betapa pentingnya iman mereka. Pertama, mereka diminta untuk melihat burung di udara yang tidak menyemai benih, tidak menuai tuaian, dan tidak mengumpulkan hasil di dalam jelapang, tetapi Bapa mereka yang di syurga memelihara semuanya. Bukankah mereka lebih bernilai daripada burung? Siapakah dalam kalangan mereka yang dapat melanjutkan usianya sedikit pun dengan asyik menaruh khuatir?
Yang kedua ialah mengapa mereka risau tentang pakaian. Mereka diminta melihat bunga bakung di padang yang tidak bekerja atau bertenun. Raja Salomo dengan segala kemegahannya pun tidak berpakaian seindah bunga itu. Jika Allah menghiasi rumput di padang, yang ada hari ini lalu esoknya dibakar di dapur, tidakkah Allah akan memberi mereka pakaian?
Maka Yesus menegur mereka tentang betapa tipisnya kepercayaan mereka kepada Allah untuk memelihara hidup mereka. Sebaliknya, Yesus mengesa mereka supaya mengutamakan kerajaan Allah serta perbenaran-Nya dan semuanya itu akan diberikan kepada mereka. Oleh itu, mereka janganlah khuatir tentang hari esok kerana sudah ada banyak perkara yang menuntut perhatian mereka. Orang yang tidak mengenal Allah sentiasa khuatir tetapi mereka hendaklah ingat bahawa Bapa mereka yang di syurga tahu bahawa mereka memerlukan semua itu dan kasih kurnia-Nya cukup untuk mereka.
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, ajarlah aku untuk mengutamakan Engkau dalam segala perkara yang aku lakukan agar nama-Mu dipermulia. Bimbinglah aku untuk terus mengutamakan perbenaran-Mu dalam hidup ini. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie




Comments