Utamakan Penyelamatan Jiwa Daripada Kepentingan Peribadi
- Komuniti Digital 05

- Sep 11
- 1 min read

Kemudian Yesus bertanya kepada ahli-ahli Taurat dan orang Farisi, “Adakah Taurat membenarkan orang disembuhkan pada hari Sabat atau tidak?” Lukas 14:3 AVB
Di rumah orang Farisi itu seorang lelaki yang sakit busung air, iaitu tangan dan kakinya bengkak-bengkak, sedang duduk tepat di hadapan Tuhan Yesus. Sebelum Yesus menyembuhkan lelaki itu, pertama-tama Dia melontarkan satu pertanyaan kepada ahli-ahli Taurat dan orang Farisi yang ada di situ, “Adakah Taurat membenarkan orang disembuhkan pada hari Sabat atau tidak?”
Setelah mereka mendengar pertanyaan Yesus, mereka mengambil sikap tidak mahu berkata apa-apa. Mereka terus diam sahaja. Sebab mereka takut terhadap orang ramai yang ada di sekeliling Yesus. Lalu Yesus memanggil orang yang sakit busung air itu datang kepada-Nya. Yesus memegang tangan orang yang sakit itu dan menyembuhkannya. Kemudian Dia menyuruh dia pulang.
Kemudian Yesus berkata kepada orang yang ada di sekeliling-Nya, " Jika anakmu atau keldaimu jatuh ke dalam perigi pada hari Sabat, siapakah antara kamu yang tidak menariknya keluar dengan serta-merta?" Mereka tidak dapat memberikan jawapan tentang perkara itu.
Sebenarnya Yesus mengemukakan pertanyaan itu kerana Dia mahu menelanjangi kemunafikan ahli-ahli Taurat dan orang Farisi. Mereka sering kali menuntut orang lain untuk melakukan apa yang diajarkan mereka, tetapi mereka sendiri tidak melakukan apa yang diajarkan mereka, seperti menunjukkan belas kasihan atau menghulurkan pertolongan kepada orang yang susah. Itulah sebabnya Yesus berkata bahawa mereka munafik atau kepura-puraan sahaja.
Bagaimanakah dengan kita pada hari ini? Adakah kita lebih mengutamakan kepentingan diri kita sendiri daripada kepentingan orang lain? Sebab kita hidup hari ini semata-mata atas kasih kurnia Allah. Oleh itu, selama kita hidup kita harus menjadi saluran berkat kepada semua orang dengan membawa mereka untuk mengenal Tuhan Yesus dalam hidup mereka.
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, bukalah mataku untuk melihat keperluan yang ada di sekelilingku agar aku akan prihatin kepada orang yang memerlukan belas kasihan dan pertolongan dengan segera. Bimbinglah aku untuk mengenal seruan orang yang meminta pertolongan di sekelilingku. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie




Comments