top of page

Utamakanlah Kerajaan Allah

ree

“Sebaliknya, utamakanlah kerajaan Allah dan semuanya itu akan diberikan kepadamu.” Lukas 12:31 AVB

 

Tuhan Yesus berkata kepada murid-murid-Nya bahawa ketika mereka menghadapi kerunsingan, mereka perlu memastikan bahawa Allah terus memerintah seluruh jiwa raga mereka. Dengan itu, segala keperluan yang lain, seperti makanan, minuman, dan pakaian akan diberikan oleh Allah kepada mereka kerana Dialah Tuhan yang tahu bagaimana menolong atau memenuhi segala keperluan mereka.

 

Tegasnya, setiap murid-Nya hendaklah mengutamakan kerajaan Allah dalam hidup dengan melakukan apa yang dikehendaki oleh Allah bagi diri mereka. Mereka hendaklah percaya dan yakin bahawa Allah yang maha kuasa dan penuh kasih sayang akan memberi mereka semua yang diperlukan mereka. 

 

Mengutamakan kerajaan Allah dalam hidup ini bermaksud pengikut-pengikut Tuhan Yesus perlu menjadikan pemberitaan kerajaan Allah sebagai keutamaan bagi diri mereka. Seluruh hidup mereka haruslah sentiasa tertuju pada pekerjaan Allah. Mereka tidak mengenal jerih lelah apabila mereka berusaha mengkhabarkan Injil dengan sepenuh hati, asalkan berita tentang Yesus disampaikan kepada orang di sekeliling mereka.

 

Oleh itu, jangan sekali-kali mengalihkan hati dan fikiran kita daripada pekerjaan Allah dalam hidup ini. Allah telah memanggil setiap kita ke ladang yang tuaiannya banyak sekali. Yakinlah bahawa Dia akan memperkasakan dan memampukan kita untuk menyempurnakan pekerjaan yang diberikan-Nya.  “Segala yang kamu katakan dan lakukan haruslah dengan nama Tuhan Yesus sambil mengucap syukur kepada Bapa kita Allah melalui-Nya.” Kolose 3:17 AVB

 

Doa:

Ya Tuhan Yesus, terima kasih atas kasih dan anugerah-Mu. Ajarlah aku supaya sentiasa mengutamakan Engkau dalam segala perkara yang aku lakukan. Ampunilah aku kiranya aku tidak mengutamakan Engkau. Inilah diriku,  pakailah aku demi memuliakan nama-Mu. Dalam nama-Mu, ya Tuhan Yesus, aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


bottom of page