top of page

Yakin Kerana Pengalaman Langsung Bersama Yesus

  • 2 days ago
  • 2 min read

Mereka berkata, “Sesungguhnya, Tuhan telah bangkit. Dia menampakkan diri-Nya kepada Simon!” Lukas 24:34 AVB


Pada mulanya dua orang murid yang dalam perjalanan ke Emaus nampak Yesus tetapi mereka langsung tidak perasan siapa Dia itu. Setelah mereka mengenal Peribadi unggul yang bersama mereka dalam perjalanan sebenarnya Yesus, mereka terus bangkit untuk balik ke Yerusalem. Di sana mereka mendapati sebelas orang rasul Yesus sedang berkumpul dengan pengikut yang lain.


Mereka memberitahu semua pengikut Yesus yang sedang berkumpul di situ bahawa sesungguhnya mereka telah bertemu dengan Yesus. Mata mereka dicelikkan dan mereka mengenal Dialah Yesus sewaktu Dia mengambil roti dan mengucap syukur. Kemudian Dia memecah-mecahkan roti dan memberikannya kepada mereka. Oleh itu, mereka dengan penuh semangat dan keyakinan memaklumi semua pengikut Yesus bahawa Tuhan Yesus sesungguhnya telah bangkit daripada kematian.


Selain itu, mereka berdua mendengar dengan telinga sendiri daripada Yesus tentang apa yang telah berlaku terhadap diri-Nya. Yesus menegur mereka kerana betapa lambatnya hati mereka mempercayai segala kata nabi-nabi bahawa Kristus harus menderita sedemikian untuk mencapai kemuliaan-Nya. Yesus sendiri juga menerangkan kepada mereka apa yang tersurat tentang-Nya dalam seluruh Kitab Suci mulai kitab-kitab Musa sehingga semua kitab para nabi yang lain. Lalu mereka teringat apa yang telah dikatakan dan dilakukan Yesus semasa Dia bersama mereka dahulu.


Atas pertemuan secara peribadi dengan Yesus, maka mereka telah diyakinkan bahawa Yesus sesungguhnya sudah bangkit. Itulah sebabnya mereka berkongsi kepada pengikut-pengikut Yesus yang lain dengan penuh keyakinan bahawa Yesus memang hidup. Tegasnya, kebangkitan Yesus bukanlah khayalan, khabar angin atau mitos, tetapi satu peristiwa jasmani yang betul-betul berlaku.


Demikian juga dengan diri kita. Pengalaman secara peribadi dengan Tuhan Yesus akan menyebabkan kita memiliki keyakinan yang teguh terhadap Tuhan Yesus dalam hidup kita sehingga keraguan tidak lagi mudah bertapak di hati kita. Marilah kita membina hubungan yang akrab dengan Yesus dalam hidup dengan merenungkan firman Allah, berdoa dan membiarkan kebenaran firman-Nya meresapi hati kita setiap hari. Pengalaman langsung secara peribadi mendekatkan diri kita dengan Tuhan Yesus, justeru kita tidak akan berpaling tadah dalam perjalanan iman kita.


Doa:

Ya Tuhan Yesus, inilah aku. Bimbinglah aku dalam segala jalanku. Buka mata rohaniku untuk melihat kebenaran-Mu yang dapat mengubah hidupku untuk menjadi saluran berkat kepada orang di sekelilingku. Dalam nama-Mu yang mulia aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


bottom of page