top of page

Yang Terbesar dalam Kerajaan Allah


ree

Mereka bertengkar sesama sendiri tentang siapa antara mereka yang terbesar. Lukas 9:46 AVB

 

Dalam perjalanan Yesus dan murid-murid-Nya ke Kapernaum, murid-murid-Nya itu telah mempersoalkan sesama sendiri  “siapa yang dianggap terbesar antara orang yang menikmati Kerajaan Allah”.

 

Yesus mengetahui apa yang ada pada fikiran para murid-Nya. Setelah mereka tiba di Kapernaum dan masuk ke dalam rumah, Yesus pun bertanya kepada murid-murid-Nya itu, “Apakah yang kamu persoalkan di jalan tadi?”

 

Demi mengajar murid-murid-Nya,  Yesus memanggil seorang kanak-kanak dan menyuruhnya berdiri di sisi-Nya di hadapan mereka semua. Yesus pun berkata kepada mereka, “Sesiapa yang menyambut kanak-kanak ini kerana Nama-Ku menyambut-Ku. Sesiapa yang menyambut-Ku menyambut Dia yang mengutus-Ku. Sebabnya yang terkecil antara kamu semua ialah yang terbesar!”

 

Pendek kata, untuk menjadi yang terbesar dalam Kerajaan Allah, seseorang itu haruslah mengubah sikapnya dan menjadi seperti kanak-kanak. Sebabnya yang dianggap terbesar ialah seseorang yang merendahkan diri dan bersikap seperti kanak-kanak kecil.

 

Mahukah kita menjadi terbesar dalam Kerajaan Allah?  Jika jawapan kita “ya”, marilah kita menyambut dan melayani Yesus sebagaimana kita menyambut dan melayani kanak-kanak kecil, dengan tujuan untuk mentaati serta memuliakan-Nya.

 

Doa:

Ya Tuhan Yesus, aku datang kepada-Mu dan memohon agar Engkau mengajar aku  sentiasa menjalani hidup dengan merendahkan hati seperti seorang kanak-kanak. Ampunilah aku, ya Tuhan, kiranya aku masih belum merendahkan diriku. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


bottom of page