Yesus Datang Membebaskan Kita daripada Roh Iblis
- Komuniti Digital 05

- Jul 8
- 1 min read

“Orang yang tidak berpihak kepada-Ku menentang-Ku; dan orang yang tidak mengumpulkan bersama-Ku mencerai-beraikan.” Lukas 11:23 AVB
Demi menyangkal tuduhan orang yang menentang Tuhan Yesus, maka Dia menggunakan ibarat tentang sebuah rumah; “Apabila seorang yang gagah dan bersenjata lengkap mengawal rumahnya, harta bendanya selamat; tetapi apabila seorang yang lebih gagah menyerang dan mengalahkannya, yang lebih gagah itu akan merampas segala senjata yang diperlukan oleh tuan rumah itu lalu membahagikan harta yang dirampasnya.”
Jika seseorang itu berpihak kepada orang gagah yang mengawal rumah itu, pasti dia tidak akan menentangnya kerana mereka sepihak. Sebaliknya, sekiranya mereka tidak sepihak, tentulah mereka akan beradu kekuatan demi menentukan siapa yang lebih gagah.
Demikianlah hal dengan Tuhan Yesus yang mengusir roh iblis daripada orang bisu itu. Sebab mereka bukanlah sama pihak, maka roh jahat itu harus dihalau. Memandangkan orang gagah yang menjaga rumah itu tidak sekali-kali berpihak kepada Yesus yang lebih gagah, itulah sebabnya dia menentang Yesus dan tidak menolong Yesus tetapi cuba menjejaskan pekerjaan Yesus.
Jelaslah bahawa Yesus datang untuk membebaskan rumah yang dikawal atau ditawan oleh roh iblis yang tidak berpihak kepada-Nya. Di sini rumah dapat merujuk kepada tubuh mereka yang dikuasai oleh roh iblis. Yesus datang untuk membebaskan mereka daripada kongkongan roh iblis agar mereka menjadi milik-Nya.
Itulah sebabnya roh iblis sentiasa mencari peluang merampas orang yang dimiliki oleh Tuhan Yesus untuk menjadi rumah kediamannya. Syukurlah, Tuhan Yesus Kristus datang agar semua orang boleh dibebaskan daripada cengkaman roh iblis. Oleh itu, janganlah membuka ruang kepada roh iblis untuk menguasai kita. Hendaklah tubuh kita menjadi tempat kediaman Roh Kudus dan biarlah Dia terus berkuasa atas hidup kita.
Doa:
Ya Tuhan Yesus, Engkaulah Tuhan yang datang untuk membebaskan aku daripada belenggu roh iblis. Kuasa-Mu lebih besar daripada kuasa roh yang ada di dunia ini. Engkau datang supaya manusia beroleh hidup bahkan mempunyai hidup yang berlimpah-limpah. Dalam nama-Mu aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie




Comments