Yesus Datang Untuk Mencari Dan Menyelamat
- Komuniti Digital 05

- 16 hours ago
- 1 min read

'Anak Manusia datang untuk mencari dan menyelamatkan orang yang hilang. ” ' (Lukas 19:10) AVB
Sewaktu orang Yahudi mengkritik Yesus kerana menerima Zakheus yang dianggap oleh mereka sebagai orang berdosa oleh kerana pekerjaannya, maka Yesus pun menjelaskan sebab Allah mengutus diri-Nya ke dunia ini. Dia datang ke dunia untuk mencari dan menyelamatkan orang-orang yang tersesat.
Oleh yang demikian, Zakheus telah menjadi seorang yang sangat berbahagia kerana sesuai dengan rancangan besar-Nya dan maksud kedatangan-Nya ke dunia, Zakheus dan seluruh keluarganya telah diselamatkan daripada dosa.
Berdasarkan pertobatan Zakheus, Tuhan Yesus mahu berkata kepada semua orang yang bersama-sama dengan-Nya bahawa kedatangan-Nya adalah untuk memanggil orang yang berdosa supaya mereka bertobat daripada dosa-dosa mereka.
Keinginan hati Bapa di syurga nyata melalui tindakan Tuhan Yesus terhadap pertemuan-Nya dengan Zakheus. Yesuslah yang mengambil tindakan pertama dengan memanggil Zakheus, lalu menyatakan kemahuan-Nya untuk menumpang di rumahnya.
Bagi pihak Zakheus, dia perlu memberi respon kepada panggilan Yesus dengan membuka rumahnya bagi Yesus. Dalam Tuhan tidak ada paksaan untuk menerima-Nya, tetapi Dia mahu seseorang itu merespon dengan hati yang terbuka menyambut-Nya.
Demikian juga dengan diri kita. Yesus memanggil kita dan mahu masuk ke dalam hidup kita, namun kita harus merendahkan hati dan membuka hati kita bagi-Nya serta membiarkan-Nya mengendalikan seluruh hidup kita. Sebab Dia ingin agar kita diselamatkan daripada hukuman dosa.
Doa: Tuhan, terima kasih kerana menerima aku sebagaimana adanya diriku. Walaupun aku seorang yang berdosa, Engkau tetap memanggil aku untuk datang kepada-Mu. Inilah aku, aku serahkan seluruh hidupku kepada-Mu. Di dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa, amin.
Pr Patrick Taie




Comments