Yesus Datang untuk Menyempurnakan Hukum Taurat
- Komuniti Digital 05
- 3 days ago
- 2 min read

' Sesiapa menceraikan isterinya dan berkahwin dengan perempuan lain, dia berzina dan sesiapa berkahwin dengan seorang perempuan yang telah diceraikan oleh suaminya, dia berzina.” ' (Lukas 16:18) AVB
Setelah Yesus memberitahu para pengikut-Nya tentang Berita Baik yang diberitakan oleh Yohanes Pembaptis, orang ramai mula berebut-rebut untuk menerimanya. Walaupun demikian, tidak ada satu pun hukum Taurat yang dibatalkan. Sebagai contoh, hukum moral yang terkandung di dalamnya tetap kukuh dan sah. Ini bermakna bahawa tidak satu noktah pun daripada hukum Taurat akan tergugur; segala kewajipan yang tertulis di dalamnya masih tetap berkuat kuasa, dan dosa-dosa yang dilarang di dalamnya masih tetap dilarang.
Namun melalui Injil, segala peraturan dalam hukum Taurat menjadi lebih jelas dan teguh, sehingga semuanya menjadi lebih rohani. Itulah sebabnya Yesus berkata bahawa setiap suami yang menceraikan isterinya lalu berkahwin semula dengan wanita lain dianggap berzina. Begitu juga seorang lelaki yang mengahwini wanita yang telah diceraikan oleh suaminya, dia juga dikategorikan sebagai berzina.
Oleh itu, dari segi hukum, semuanya masih dilaksanakan menurut Injil. Namun Injil mendalami serta menyempurnakan makna hukum tersebut dengan lebih jelas — seperti yang dikatakan oleh Yesus mengenai perzinaan: “Sesiapa yang memandang wanita dengan nafsu berahi dalam hatinya, dia telah berzina dengannya.” Maka sebab itulah Yesus mengingatkan para pengikut-Nya bahawa perceraian tidak diizinkan bagi seseorang yang telah berkahwin menurut Injil-Nya.
Dengan demikian, Injil bertujuan untuk mencabut akar keinginan dan nafsu jahat manusia supaya tidak menguasai kehidupannya. Manusia tidak boleh diberi kebebasan untuk melakukan segala sesuatu sesuka hati. Itulah sebabnya Yesus berkata:
' Sesiapa menceraikan isterinya dan berkahwin dengan perempuan lain, dia berzina dan sesiapa berkahwin dengan seorang perempuan yang telah diceraikan oleh suaminya, dia berzina.” '
Doa: Ya Bapa yang di syurga, terima kasih kerana mengingatkan aku tentang ajaran-Mu bahawa segala perintah-Mu tidak pernah berubah sejak dahulu hingga kini. Ajarlah aku untuk hidup menurut jalan-Mu. Dalam nama Yesus, aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie
Comments