top of page

Yesus Ditangkap Pada Waktu Gelap

  • Feb 11
  • 1 min read

Kemudian Yesus berkata kepada ketua-ketua imam, ketua-ketua pengawal Bait Suci dan tua-tua yang telah datang untuk menangkap-Nya, “Perlukah kamu datang dengan pedang dan belantan untuk menangkap Aku seolah-olah Aku ini seorang penyamun?” Lukas 22:52 AVB

 

Setelah itu, Yesus berkata kepada semua ketua imam, ketua pengawal Bait Suci dan para pemimpin masyarakat Yahudi yang datang ke situ untuk menangkap-Nya, “Adakah Aku ini penjahat sehingga kamu harus datang dengan membawa pedang dan belantan (tongkat kayu) untuk menangkap Aku? Semasa Aku bersama kamu setiap hari di dalam Bait Suci, kamu tidak berani pula menangkap Aku. Tetapi inilah masa kamu dan masa kuasa kegelapan.”

 

Pertanyaan Tuhan Yesus itu tidak meminta jawapan daripada mereka. Dia menegur tindakan mereka. Sebenarnya, mereka tahu bahawa Dia bukan penjenayah tetapi mereka bertindak menangkap-Nya dengan menggunakan pedang dan belantan seolah-olah Dia orang yang ganas. Pada setiap hari Tuhan Yesus ada bersama mereka di pelataran Bait Suci, namun mereka tidak berani menangkap-Nya di sana. Akan tetapi, pada waktu yang gelap itu, mereka datang menangkap-Nya, kerana mereka menjalankan kemahuan para penguasa kegelapan dan pada masa gelap tidak ada orang ramai yang berada di sekeliling-Nya.

 

Pada waktu malam mereka yang bersama Yesus hanyalah murid-murid-Nya. Oleh itu, perasaan takut tidak lagi menghantui hati mereka. Hal ini memberitahu kita bahawa masa yang digunakan para musuh untuk menangkap Yesus ialah waktu gelap dan orang ramai tidak ada di sekeliling-Nya. Tindakan mereka itu bukan sahaja memperlihatkan muslihat dan ketakutan mereka tetapi juga kebutaan rohani serta kemunafikan mereka.

 

Bagaimanakah dengan diri kita pada hari ini? Adakah kita masih suka akan kegelapan kerana kita berbuat jahat? Atau adakah kita sudah memiliki cahaya hidup daripada Allah? Marilah kita lucutkan segala kerja kegelapan dan kenakan kelengkapan senjata cahaya.

 

Doa:

Ya Bapa yang di syurga, aku datang ke hadirat-Mu untuk memuji dan mengagungkan nama-Mu. Aku bersyukur kerana Tuhan Yesus datang ke dunia ini sebagai cahaya supaya manusia yang percaya kepada-Nya tidak akan terus tinggal dalam kegelapan. Biarlah cahaya Yesus bersinar dalam hidupku. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


bottom of page