Yesus Meluangkan Masa untuk Berdoa
- Komuniti Digital 05

- 1 day ago
- 1 min read

Pada siang hari Yesus mengajar di dalam Bait Suci. Pada waktu malam Dia keluar dari kota itu dan bermalam di udara lapang di Bukit Zaitun. Lukas 21:37 AVB
Setiap siang hari Tuhan Yesus pergi ke Bait Suci untuk menyampaikan ajaran-Nya kepada semua orang yang datang mendengar-Nya. Pada malam hari pula Dia keluar dari kota itu untuk pergi bermalam di udara lapang di Bukit Zaitun.
Yesus tidak pernah meninggalkan tanggungjawab dan komitmen-Nya terhadap pelayanan-Nya. Dia menggunakan setiap kesempatan yang dimiliki-Nya untuk mengajar firman Allah kepada orang yang datang kepada-Nya. Dia tidak berhenti dari pergi ke Bait Suci untuk mengajar orang ramai.
Sebenarnya, pada malam hari Yesus naik ke Bukit Zaitun untuk tujuan tertentu. Dia ingin meluangkan masa untuk berdoa atau berakrab dengan Bapa yang di syurga. Tidak kira sesibuk mana pun Yesus dalam pelayanan-Nya, Dia tidak pernah lupa melapangkan masa untuk Bapa-Nya yang di syurga yang telah mengutus-Nya ke dunia ini. Dia sedar bahawa waktu bersama dengan Bapa yang di syurga adalah sangat penting sekali.
Bagaimanakah dengan diri kita? Adakah kita hanya sibuk melayani tetapi kita tidak ada waktu untuk bersama Allah secara peribadi seperti Yesus? Dalam kesibukan Yesus, Dia mengutamakan masa untuk bersendirian dengan Allah Bapa. Marilah kita terus memberitakan Injil di samping meluangkan masa bersama dengan Allah setiap hari. Kita haruslah menyeimbangkan pelayanan dengan masa peribadi dengan Allah. Barulah pelayanan kita bernilai dan menyenangkan hati Allah.
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, aku datang kepada-Mu untuk memohon bimbingan dan berkat-Mu atas hidupku. Ajarlah aku bukan sahaja untuk terus mengkhabarkan Injil-Mu kepada orang yang ada di sekelilingku tetapi juga tekun meluangkan masa bersama-Mu setiap hari. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie




Comments