top of page

Yesus Meluangkan Masa untuk Berdoa Bersendirian


Pada suatu hari semasa Yesus berdoa bersendirian, murid-murid-Nya datang kepada-Nya.   Yesus bertanya kepada mereka, “Mengikut orang ramai, siapakah Aku?” Lukas 9:18 AVB

 

Yesus menjadi teladan bagi diri kita pada hari ini dalam “hidup berdoa”.  Pada awal-awal pagi  Yesus pergi ke sebuah tempat yang sunyi untuk berdoa bersendirian kepada Allah Bapa. Sebelum Dia memulakan hari-Nya, pertama-tama Dia meluangkan masa secara peribadi untuk bersama-sama dengan Bapa-Nya yang di syurga.

 

Masa bersendirian dengan Allah Bapa merupakan hal yang sangat penting bagi Tuhan Yesus  sebelum Dia memulakan sesuatu hari. Walaupun Dia sangat sibuk dengan pelayanan-Nya,  masa bersendirian dengan Allah Bapa tidak pernah diabaikan-Nya. Yesus  tetap meluangkan masa untuk berdoa bersendirian. Sebab Dia tahu bahawa masa bersendirian dengan Bapa-Nya yang di syurga harus menjadi keutamaan-Nya.

 

Persoalan sekarang ialah bagaimana dengan diri kita pada hari ini. Apakah kita meluangkan masa yang cukup untuk bersama-sama dengan Tuhan Yesus sebelum kita memulakan setiap hari? Sebab meluangkan masa bersendirian dengan Tuhan Yesus bermakna bahawa kita “membiarkan Tuhan melayani dan meneguhkan jiwa raga kita” sebelum kita melakukan sesuatu pada hari yang berkenaan.

 

Sebagaimana Firman Tuhan mengingatkan kita dalam Injil Matius 6:33,  “Utamakanlah kerajaan Allah serta perbenaran-Nya; dan semuanya itu akan diberikan kepadamu”.

 

Doa:

Ya Bapa yang di syurga, aku datang kepada-Mu dan memohon agar Engkau mengajar aku untuk sentiasa mengutamakan-Mu dalam segala perkara yang aku lakukan setiap hari. Hanya dalam-Mu hidupku terjamin dan aman. Inilah aku. Aku serahkan hidupku kepada-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


1n.png

  Ikuti Kami Di Media Sosial Untuk Meneroka Lebih Banyak Lagi  

AKD.png
bottom of page