top of page

Yesus Membuka Pintu Pemahaman Mereka

  • 15 hours ago
  • 2 min read

Lalu Dia [Yesus] membuka pintu pemahaman mereka supaya mereka mengerti maksud Kitab Suci. Lukas 24:45 AVB

 

Apabila Yesus menampakkan diri-Nya kepada para murid-Nya yang sedang berkumpul di Yerusalem, mereka terkejut dan berasa sangat takut kerana menyangka mereka melihat hantu. Dia pun meminta mereka untuk menyentuh-Nya dan melihat tangan dan kaki-Nya yang pernah dipaku. Kemudian Dia makan ikan di hadapan mereka untuk membuktikan bahawa Dia sesungguhnya Yesus dan bukan hantu. Dialah Yesus yang telah dijatuhi hukuman mati dan sekarang sudah hidup semula.

 

Kemudian, Yesus mengingatkan mereka tentang perkara-perkara yang telah dikatakan-Nya kepada mereka semasa Dia masih bersama mereka dahulu. Segala perkara yang tersurat tentang Yesus dalam Taurat Musa, kitab-kitab nabi dan kitab Mazmur pasti akan berlaku.

Lalu Dia membuka pintu pemahaman mereka supaya mereka mengerti maksud Kitab Suci. Dia menegaskan memang tersurat bahawa Kristus harus menderita lalu bangkit semula daripada maut pada hari yang ketiga, dan perkhabaran tentang pertaubatan dan pengampunan dosa diisytiharkan demi nama-Nya kepada semua bangsa, mulai di Yerusalem. Merekalah saksi segala perkara itu.

 

Para murid Yesus baru dapat mengerti segala perkara yang dikatakan atau ditulis tentang diri Yesus dalam Taurat Musa, kitab-kitab nabi dan Mazmur. Sesudah Dia membuka fikiran mereka, maka mereka celik mata dan celik hati. Sekiranya Dia tidak membuka pintu pemahaman tentang apa yang terjadi, mereka pasti masih buta rohani. Jelaslah bahawa pengertian rohani sebenarnya satu kurnia daripada Allah.

 

Sebagai manusia memang banyak perkara yang tidak dapat difahami oleh para murid Yesus. Dia telah memberikan pengertian kepada mereka untuk membolehkan mereka menjadi saksi-Nya, dengan mengisytiharkan perkhabaran tentang pertaubatan dan pengampunan dosa demi nama-Nya kepada semua bangsa, mulai di Yerusalem. Demikian juga dengan diri kita pada hari ini. Kita sangat memerlukan campur tangan Allah dalam hidup kita bagi memahami segala perkara yang terjadi di sekeliling kita.

 

Oleh itu, marilah kita memohon Roh Kudus untuk membimbing diri kita ke arah segala kebenaran dan mengingatkan kita tentang firman Allah.

 

Doa:

Ya Tuhan Yesus, aku manusia yang lemah dan banyak kekurangan. Betapa aku memerlukan Engkau untuk menolongku. Kendalikan seluruh hidupku agar dalam semua perkara aku dapat mengerti kehendak dan jalan-Mu. Dalam nama-Mu yang agung, aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


bottom of page