top of page

Yesus Menyembuhkan Wanita yang Berpenyakitan Pendarahan


Wanita itu mendekati Yesus dari belakang lalu menyentuh hujung jubah-Nya. Seketika itu juga, penyakit pendarahannya sembuh. Lukas 8:44 AVB

 

Sewaktu Tuhan Yesus berjalan menuju ke rumah Yairus, orang ramai mengasak-Nya dari semua sisi. Antara orang ramai itu ada seorang wanita yang sudah menderitai penyakit pendarahan selama 12 tahun. Dia telah menghabiskan segala harta bendanya untuk mendapatkan rawatan daripada beberapa orang tabib. Malangnya, tidak ada yang dapat menyembuhkan penyakitnya itu.

 

Oleh itu, wanita itu datang menghampiri Tuhan Yesus dari belakang. Dalam hatinya dia berbisik, “Sekiranya aku dapatlah menyentuh hujung jubah Tuhan Yesus, pastinya aku akan sembuh.” Maka dia pun menyentuh hujung jubah Tuhan Yesus, dan pada saat itu juga pendarahan yang dialaminya selama 12 tahun dengan serta-merta terus berhenti.

 

Hal ini menunjukkan kepada kita  bahawa “doa” yang didengar oleh Tuhan tidak semestinya diucapkan dengan suara yang nyaring tetapi doa haruslah bersertakan iman yang sungguh-sungguh kepada Tuhan Yesus. Sebab iman kitalah yang menggerakkan Roh Kudus bekerja dalam hidup kita.

 

Percayalah kepada Tuhan Yesus dengan sepenuh hati kita. Janganlah ragu-ragu terhadap kuasa-Nya untuk menolong kita, kerana tidak ada apa-apa yang mustahil bagi Tuhan Yesus.

 

Doa:

Ya Bapa yang di syurga, aku datang kepada-Mu untuk memohon agar Tuhan memberi aku iman yang teguh lagi kuat. Aku mahu sentiasa percaya kepada-Mu. Walaupun berbagai-bagai cabaran yang aku lalui dalam hidup ini tetapi aku tetap percaya kepada-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


1n.png

  Ikuti Kami Di Media Sosial Untuk Meneroka Lebih Banyak Lagi  

AKD.png
bottom of page