Yesus Nampak dan Mengetahui Keadaan Kita
- Komuniti Digital 05

- Aug 25
- 1 min read

Apabila Yesus nampak perempuan itu, Dia memanggilnya dan berkata, “Sembuhlah daripada penyakitmu.” Lukas 13:12 AVB
Pada hari Sabat Yesus mengajar di salah sebuah saumaah (rumah ibadat). Di situ ada seorang perempuan yang dirasuk oleh sesuatu roh yang melemahkannya selama lapan belas tahun. Belakangnya bongkok lipat dua dan dia tidak dapat berdiri tegak. Apabila Yesus nampak perempuan itu, Dia memanggilnya dan berkata, “Sembuhlah daripada penyakitmu.” Lalu Yesus meletakkan tangan-Nya pada perempuan itu. Seketika itu juga, dia berdiri tegak dan memuji Allah.
Perempuan itu telah menderita selama 18 tahun disebabkan roh jahat yang membelenggu dirinya. Yesus mengetahui keadaan perempuan itu dan Dia ingin menolongnya. Dengan itu, Yesus memanggil perempuan itu tampil ke hadapan-Nya lalu Dia segera menyembuhkannya.
Ketahuilah bahawa Yesus juga melihat dan mengetahui keadaan kita. Dia menyeru kita untuk datang kepada-Nya kerana Dia mahu melepaskan kita daripada segala masalah, penderitaan dan penyakit, sama ada yang disebabkan oleh roh jahat atau tidak.
Marilah datang kepada Tuhan Yesus untuk memohon pertolongan dan campur tangan-Nya. Dia bukan sahaja maha berkuasa, tetapi Dia juga penuh belas kasihan. Dia sedia membawa pembebasan dan penyembuhan kepada kita sebagaimana yang dilakukan-Nya untuk perempuan yang dirasuki roh jahat itu.
Doa:
Ya Tuhan Yesus, terima kasih kerana Engkau nampak dan tahu akan keadaan hatiku. Engkau mahu menolong aku. Ya Tuhan, aku datang menyerahkan seluruh jiwa ragaku kepada-Mu. Berikanlah kekuatan dan ketabahan kepadaku untuk sentiasa mengikut jalan-Mu sepanjang hidupku. Dalam nama-Mu yang mulia aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie




Comments