top of page

Yesus Pendoa

ree

Yesus berdoa di suatu tempat dan setelah Dia berhenti, seorang daripada murid-Nya berkata, “Tuhan, ajarlah kami berdoa seperti Yohanes mengajar murid-muridnya.” Lukas 11:1 AVB

 

Pada suatu hari Tuhan Yesus pergi ke  tempat yang sunyi untuk berdoa.  Setelah Dia selesai berdoa, salah seorang murid-Nya datang kepada-Nya lalu dia berkata kepada Tuhan Yesus, “Tuhan, ajarlah kami berdoa seperti Yohanes mengajar murid-muridnya.” 

 

Secara peribadi Yesus seorang pendoa kerana Dia sering kali meluangkan masa-Nya untuk berdoa bersendirian di-tempat-tempat yang sunyi.  Doa merupakan kebiasaan penting yang diamalkan Yesus dalam hidup-Nya setiap hari. Walaupun Dia sangat sibuk dalam pelayanan-Nya tetapi Dia tidak akan lupa untuk melapangkan masa-Nya secara peribadi di tempat-tempat yang sunyi demi berdoa kepada Bapa-Nya.

 

Yesus merupakan suri teladan yang sangat baik untuk kita ikuti dalam hidup ini kerana Dia tetap meluangkan masa-Nya untuk berdoa bersendirian tidak kira sesibuk mana pun Dia dalam pelayanan. Memang Dia akan mencari tempat yang sunyi untuk berdoa seorang diri. Dia kerap naik ke bukit atau gunung untuk berdoa semalam-malaman  kepada Bapa-Nya. 

 

Bagaimanakah dengan diri anda pada hari ini? Apakah anda seorang pendoa, seorang yang sentiasa melapangkan masanya untuk berakrab dengan Tuhan Yesus secara peribadi. Doa  bagaikan nafas kita kerana jika kita berhenti bernafas, kita akan mati. Demikian juga dengan hidup rohani kita jika kita tidak berdoa kepada Bapa kita yang di syurga.

 

Ingatlah bahawa jika doa begitu penting bagi Tuhan Yesus, apatah lagi kita! Oleh itu, jadilah pendoa yang setia dalam hidup ini.

 

Doa:

Ya Bapa yang di syurga, jadikanlah aku seorang pendoa. Tolonglah aku supaya terus mengutamakan masa untuk berdoa kepada-Mu dan sentiasa ingin berakrab dengan-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


bottom of page