top of page

5 Cara Untuk Menyampaikan Ketuhanan Yesus





Orang selalu bertanya, “bagaimana untuk menyampaikan ketuhanan Yesus kepada umum?”.


Jika ini merupakan sesuatu yang baru bagi anda atau anda selalu merasa buntu mengenai hal ini, jangan khuatir! Dalam video ini, saya akan memberikan cara-cara yang anda perlukan untuk menyampaikan ketuhanan Yesus. Anda bersedia? Mari kita mulakan!


Cara #1: Gunakan Alkitab anda!


Barangkali, apabila umat Kristian menyampaikan perihal Yesus sebagai Tuhan, jarang kita melihat mereka membukakan Alkitab mereka untuk membawa perhatian umum terhadap ayat-ayat yang termaktub di dalamnya. Bahkan, mereka selalu menggunakan akal fikiran mereka yang sangat terhad. Walau bagaimanapun, ini bukanlah idea yang bernas. Kenapa? Kerana Yesus selalu rujuk balik kepada Alkitab.


Yesus, sewaktu melalui ujian dan percubaan, tiga kali menyebut, “ada tertulis”, dan ini memberi gambaran bahawa Dia selalu menggunakan Alkitab sebagai rujukan utama melalui pelbagai rintangan yang dihadapi. Jadi, jika Yesus menggunakan Alkitab sebagai rujukan utama, kita juga harus menggunakan Alkitab untuk menyampaikan ketuhanan Yesus.


Ya, kebangkitan Yesus dari kematian dan juga, mujizat-mujizat Yesus merupakan bukti-bukti kuat untuk membincangkan ketuhananNya. Namun, yang menguatkan perkara-perkara tersebut adalah Alkitab sendiri.


Cara #2: Gunakan satu sahaja terjemahan Alkitab!


Setiap kali membincangkan ketuhanan Yesus, umat Kristian akan selalu berbalah sesama sendiri mengenai terjemahan Alkitab, iaitu terjemahan mana yang tepat dan bagus. Namun, ini bukanlah perkara utama yang harus diterapkan. Bahkan, jika anda membincangkan ketuhanan Yesus, maka, anda harus memberi sepenuh perhatian kepada subjek ketuhananNya.


Jadi, di sini, saya ingin cadangkan anda memilih satu sahaja terjemahan Alkitab dan gunakan sepenuhnya terjemahan tersebut. Nescaya, tidak akan berlaku sebarang olah di mana seseorang umat Kristian menggunakan terjemahan mengikut citarasa sendiri, lalu, menumpukan perhatian kepada terjemahan yang mereka rasakan tepat dan bagus. Justeru, hilanglah fokus anda dari menyampaikan ketuhanan Yesus. Kenapa? Anda terlalu fokus terhadap topik mengenai terjemahan mana yang tepat dan bagus.


Bagi saya, saya suka menggunakan terjemahan Alkitab Versi Borneo terbaru bagi menyampaikan ketuhanan Yesus kepada umat Kristian dan bukan Kristian. Jadi, gunakanlah satu terjemahan untuk membawa Berita Baik mengenai Yesus.


Cara #3: Biasakan diri anda dengan konteks


Apa yang saya ingin sampaikan di sini? Okay, barangkali, anda akan berjumpa dengan beberapa umat Kristian yang bersemangat untuk berbincang mengenai ketuhanan Yesus namun mereka akan mengambil ayat-ayat Alkitab dari satu tempat ke satu tempat dan apabila mereka dikerjakan dengan sebuah bantahan atau bahasan yang bernas mengenai konteks ayat tersebut, mereka terkejut dan terdiam seolah-olah tidak dapat menjawab bantahan atau bahasan yang dikemukakan.


Untuk mengelakkan perkara ini dari terjadi, gunakan dua atau tiga ayat dari Alkitab tapi, kena tahu konteks ayat-ayat yang digunakan agar anda boleh menyampaikan maklumat yang penuh makna dan juga, ia dapat membantu seseorang untuk melihat intipati Alkitab dengan teliti. Ini juga adalah satu perkara yang bagus biarpun mereka percaya Yesus itu Tuhan atau tidak.


Cara #4: Jelaskan istilah-istilah yang digunakan secara lanjut dan teliti


Di dalam penyampaian mengenai ketuhanan Yesus, orang akan selalu bertanya soalan yang sulit seperti ini: Yesus itu Tuhan tetapi dia berdoa? Kepada siapa dia berdoa? Bagi orang bukan umat Kristian, mereka tidak mengerti kenapa Yesus sebagai Tuhan berdoa kepada Tuhan. Adakah logik di sebalik ini dan di sini?


Bagi yang bukan Kristian, Tuhan itu satu. Jika kita menggunakan istilah Tuhan sebagai Tritunggal, kita seharusnya mampu memberi penjelasan secara lanjut dan teliti tanpa menyebabkan kebingungan atau salah faham tentang konsep Tuhan Tritunggal iaitu ada tiga peribadi dalam satu Tuhan.


Tetapi jika kita gagal menjelaskan istilah Tuhan seperti yang difahami orang Kristian, teman-teman bukan Kristian kita tentulah bingung: bagaimana Tuhan boleh berdoa kepada Tuhan sedangkan Tuhan itu hanya satu? Oleh itu adalah penting kita menerangkan definisi Tuhan kita dan menjelaskan perihal ketuhanan Yesus dengan lanjut dan teliti kepada teman-teman bukan Kristian kita.


Jadi, Jelaskan istilah-istilah yang digunakan secara lanjut dan teliti. Ini bukan sahaja digunakan untuk membahaskan ketuhanan Yesus tetapi juga untuk perkara yang lain.


Akhir sekali...


Cara #5: Amalkan sifat lemah-lembut dan saling hormat-menghormati satu sama lain


Ada kalanya kita tidak mengamalkan sifat lemah-lembut mahupun menghormati orang lain apabila menyampaikan perihal kepercayaan Kristian mahupun perihal ketuhanan Yesus. Ini merupakan satu sifat yang Yesus sendiri mahupun murid-muridNya tidak akan lakukan sekalipun dalam menyampaikan Injil kepada umum.


Dalam 1 Petrus 3:15-16 (AVB) berkata:


Hormatilah Kristus sebagai Tuhan dalam hatimu dan sentiasa bersedia memberikan jawapan yang meyakinkan apabila seseorang bertanyakan asas harapan dalam hatimu. Jawab dengan lembut dan hormat, serta dengan suara hati yang murni. Dengan demikian mereka yang mencela kelakuan baikmu dalam Kristus akan berasa malu.


Sifat lemah-lembut dan hormat-menghormati adalah sifat-sifat penting di dalam apologetik kepercayaan Kristian dan inilah yang membezakan dari kepercayaan lain. Kenapa? Kerana Yesus dan murid-muridNya menunjukkan sifat-sifat ini apabila menyampaikan atau membincangkan Injil kepada umum.


Jadi, inilah 5 cara-cara untuk menyampaikan ketuhanan Yesus kepada umum. Jika anda menyukai apa yang dilihat dan didengari di video ini, sila sampaikan kepada kawan-kawan, ahli keluarga, sanak saudara dan rumpun gereja anda.


Nama saya Ezra Jalin. Semoga bertemu lagi di video yang seterusnya.

bottom of page