Apa Kata Malaikat Pada Malam Natal Itu?
- Komuniti Digital

- 16 hours ago
- 2 min read

Langit malam tiba-tiba menjadi terang dan para gembala melihat ke atas lalu melihat seorang malaikat. Berita baik! Khabar baik untuk seluruh dunia! Damai sejahtera kepada manusia di bumi, kata malaikat itu, kemudian disusuli oleh koir syurgawi! Cerita itu sudah kita dengar berkali-kali sempena Natal! Tapi, apakah pelajarannya bagi kita? (Lukas 2:8-18 ... Tiba-tiba malaikat Tuhan muncul di hadapan mereka dan kemuliaan Tuhan menerangi mereka, lalu mereka ketakutan. Tetapi malaikat itu berkata kepada mereka, “Jangan takut! Aku membawa kepadamu berita baik yang akan memberikan sukacita besar kepada seluruh umat. Pada malam ini di kota Daud telah lahir seorang Penyelamat bagimu, iaitu Kristus, Tuhan... )
Pertama, mengapa malaikat itu datang kepada para gembala? Kenapa tidak kepada orang di bandar raya atau di istana? Mungkinkah orang biasa lebih mudah untuk menerima berita menakjubkan itu? Mahukah orang intelek pergi melawat seorang bayi yang berbaring dalam palungan, yang telah diisytiharkan sebagai Juruselamat dunia? Intelek mereka pasti menjadi tembok yang terlalu tinggi untuk diatasi – mana mungkin seorang bayi menjadi Juruselamat dunia? Tidak menghairankan juga bahawa Injil lebih berjaya di kawasan pedalaman berbanding di bandar raya! Hampir semua kebangunan rohani dalam sejarah gereja berlaku di kawasan pedalaman, bukan di bandar raya! Kalau kamu orang sederhana, orang biasa, orang miskin, orang yang tidak terlalu pandai – mungkin itu satu anugerah kerana kamu tidak akan mempersoalkan berita baik dan kisah seorang bayi yang menjadi Raja di atas segala raja!
Ada orang sering bertanya soalan, "Di manakah dalam Alkitab Yesus mengatakan Dia adalah Allah dan harus disembah?" Yesus telah berkali-kali mengisytiharkan bahawa Dia adalah Anak Manusia (gelaran keilahian) dan memiliki status di sebelah kanan Allah (kedudukan ilahi). Ya, memang Dia tidak meminta untuk disembah, kerana tidak perlu untuk Dia menagih penyembahan (bukan seperti dewa-dewa Yunani yang menuntut sembahan untuk mendapat kuasa). Manusia berkata Yesus adalah Tuhan, orang tidak mahu percaya. Yesus sendiri berkata begitu pun orang tetap tidak mahu percaya. Tetapi malaikat Allah sendiri mengisytiharkan Yesus sebagai "Juruselamat, iaitu Kristus, Tuhan" (Lukas 2:11). Kalau tidak mahu percaya kata-kata Yesus, dan tidak mahu percaya kata-kata pengikut Yesus, tidak mengapa. Sekurang-kurangnya dengarlah kata para malaikat! Dia Tuhan!
Nampak diskaun 80%, semua pun berebut pergi. Dengar potongan harga ayam sekilo, semua pun berebut beli ayam! Bila dengar kata "I love you", terus mahu beli cincin dan sarungkan di jarinya! Bila para gembala mendengar khabar ini, mereka kata apa? Gembala-gembala itu berkata seorang kepada yang lain: "Marilah kita pergi ke Betlehem untuk melihat apa yang terjadi di sana, seperti yang diberitahukan Tuhan kepada kita." (2:15) Bandingkan itu dengan orang Yahudi sendiri di istana Raja Herodes! (Matius 2) Bila orang Majus maklum bahawa ada bintang yang menandakan kelahiran raja baru, Raja Herodes terkejut dan meminta maklumat daripada orang Yahudi. Mereka menjawab bahawa ada tertulis (dalam kitab mereka sendiri) bahawa di Betlehem akan lahir seorang raja! (Mikha 5:1-2) Orang Majus disuruh pergi mencari anak itu! Apakah orang Yahudi ikut serta dengan orang Majus? Tidak dikisahkan, kerana memang mereka tidak ikut. Kerana mereka sendiri tidak percaya kepada tulisan kitab mereka! Tetapi para gembala berkata, "Mari kita pergi."
Alangkah baiknya kalau kita juga sama-sama pergi melihat keajaiban ini! Allah datang melawat umat-Nya! Lahir ke dalam dunia sebagai seorang bayi, untuk memberi keselamatan bagi kita.
Sudahkah kamu pergi dan melihat Juruselamat dunia? Oleh : Pr Edmund Kumar Sumber : Facebook @ edmund kumar




Comments