Siapakah Yesus?
- Komuniti Digital

- 10 hours ago
- 2 min read

Sejak kedatangan-Nya yang pertama kali hingga ke hari ini, Yesus terus diperdebatkan. Kemanusiaan-Nya jarang menjadi isu. Yang sering dipersoalkan ialah keTuhanan-Nya.
Persoalan utama bukan sama ada Yesus benar-benar manusia, tetapi sama ada Dia Tuhan yang menjadi manusia, atau sekadar manusia biasa yang dipanggil Tuhan sebagai seorang nabi.
Alasan utama yang sering digunakan oleh mereka yang menolak keTuhanan Yesus ialah dakwaan bahawa Yesus tidak pernah mengaku secara berterus terang bahawa Dia adalah Tuhan. Mereka mencabar dengan soalan yang kelihatan mudah tetapi bernada provokatif:
“Di manakah satu ayat dalam Alkitab di mana Yesus berkata secara literal, ‘Akulah Tuhan, sembahlah Aku'?”
Selepas itu, ayat-ayat Alkitab sering dipetik tetapi malangnya, banyak kali dipetik di luar konteks asalnya hanya untuk menyokong hujah mereka bahawa Yesus bukan Tuhan.
Namun pertanyaan seperti ini sebenarnya boleh dipatahkan dengan satu soalan yang sama beratnya:
“Di manakah pula ayat di mana Yesus berkata, ‘Aku hanya seorang manusia biasa dan seorang nabi. Aku bukan Tuhan, jangan sembah Aku’?”
Yesus tidak pernah membuat pengakuan seperti itu. Sebaliknya, sepanjang Injil, Dia menerima penyembahan, mengampuni dosa, berbicara dengan wibawa ilahi, dan menyatakan identiti-Nya melalui perkataan serta perbuatan dan bukannya melalui slogan atau deklarasi kosong.
Seorang yang tiba-tiba tampil dan berkata, “Akulah Tuhan, sembahlah Aku,” pasti akan dianggap gila. Di zaman Yesus, pengakuan seperti itu bukan sahaja ditolak, malah boleh membawa kepada hukuman mati dengan direjam dengan batu. Dan memang benar, ada beberapa kali Yesus hampir direjam kerana melalui perkataan dan tindakan-Nya, Dia membuat pengakuan bahawa Dia adalah Tuhan.
Sebenarnya sangat jelas dalam Alkitab Yesus menyatakan keTuhanan-Nya melalui pengajaran-Nya, perbuatan-Nya, dan peribadi-Nya. Matius menyusun Injil yang ditulis dalam susunan yang cukup jelas sebab dia menulis kepada bangsa Yahudi yang sudah terbiasa dengan kitab Perjanjian Lama sejak kecil.
Dalam khutbah di bukit (Injil Matius 5–7), Yesus berbicara dengan wibawa yang tidak pernah dimiliki oleh nabi-nabi. Para nabi akan berkata, “Ada tertulis…” atau “Beginilah firman TUHAN…” tetapi Yesus berkata, “Aku berkata kepadamu…” Dia bercakap bukan sebagai penyampai firman semata-mata, tetapi sebagai sumber wibawa itu sendiri.
Kemudian dalam Matius 8–10, Yesus memperlihatkan kuasa-Nya melalui perbuatan: Dia meredakan ribut dan gelora laut, menyembuhkan pelbagai penyakit, mengusir roh-roh jahat, bahkan memberi kuasa kepada murid-murid-Nya untuk memberitakan Injil, menyembuhkan yang sakit, membangkitkan orang mati, dan mengusir setan-setan. Ini bukan kuasa pinjaman seorang nabi, tetapi kuasa yang mengalir daripada wibawa ilahi.
Akhirnya, dalam peribadi-Nya sendiri, Yesus mengesahkan kebenaran kata-kata-Nya dengan bangkit daripada kematian. Kebangkitan-Nya bukan dongeng rekaan manusia atau simbol semata-mata, tetapi dibuktikan melalui kubur yang kosong. Dengan kebangkitan itu, Yesus bukan sahaja membuktikan siapa diri-Nya, tetapi juga menuntut respon iman daripada setiap generasi.
Akhirnya, pihak pembaca dipersilakan membuat penilaian yang adil. Bacalah semula Injil Matius dengan hati yang terbuka, dan berdoalah memohon petunjuk daripada Tuhan. Mintalah agar Roh Tuhan memberikan wahyu yang sama seperti yang telah diberikan kepada Petrus, sehingga anda juga dapat mengaku dengan iman yang tulus:
“Engkau adalah Mesias, Anak Allah yang hidup!” Oleh Pr Jubilie Apin Sumber : Facebook @ jubilie apin




Comments