Aku, Diriku dan Saya
- 1 day ago
- 2 min read

Penghalang kepada Kerendahan Hati - Hari 24
Ayat Fokus: Amsal 16:18
Pernahkah kamu mendengar lagu kanak-kanak ini?
“Humpty Dumpty duduk di atas pagar,
Humpty Dumpty jatuh terguling.
Semua kuda raja dan semua orang raja,
Tidak dapat menyatukannya semula.”
Humpty Dumpty ialah sebiji telur besar dan gemuk yang telah memanjat ke atas pagar dan sangat berpuas hati dengan dirinya sendiri. Tetapi tahukah kamu apa yang berlaku kepada telur apabila ia jatuh ke lantai? Ia akan pecah berderai dan bersepah di merata tempat. Inilah yang diingatkan oleh ayat fokus hari ini apabila kita menjadi angkuh dan mempunyai roh kesombongan
Keangkuhan membawa kepada kehancuran; banyak perkara dalam hidup kita akan menjadi hancur. 'Angkuh' bermaksud kamu berfikir bahawa kamu jauh lebih baik daripada orang lain, dan kamu memandang rendah terhadap mereka. kamu fikir mereka seperti semut kecil atau lipas yang boleh dipijak. Tetapi Alkitab mengatakan bahawa orang yang angkuh akan jatuh.
Ini adalah sebahagian daripada penyakit dosa dalam hati kita yang hanya memikirkan D-I-R-I S-E-N-D-I-R-I. Iaitu - hanya memikirkan tentang Aku, Diriku dan Saya.
Ia sentiasa meletakkan DIRI SENDIRI di tempat pertama. Ini menghalang kita daripada menjadi rendah diri. Kita memanggilnya sebagai 'halangan'.
'Halangan' bermaksud sesuatu yang cuba menghentikan kita daripada melakukan sesuatu. Tetapi - ada berita baik! Tidak seperti kuda raja dan orang-raja dalam lagu kanak-kanak itu, Yesus boleh menyatukan kita semula. Apabila kita merendahkan diri dan bertaubat, mengakui dosa kita, kesombongan serta keangkuhan kita, serta memilih untuk mengutamakan-Nya, hati kita boleh dipulihkan, dan kita akan mula bertumbuh dalam kerendahan hati.
Renungkan: Tanya diri kamu sendiri, adakah kamu mempunyai kesombongan dan roh yang angkuh? Jika ya, apakah yang akan kamu lakukan?
DOA
Tuhan Yesus, saya datang kepada-Mu, mengaku dan bertaubat atas kesombongan dan keangkuhan saya. Saya minta maaf, Tuhan. Saya memerlukan pertolongan untuk mengatasi kelemahan saya. Kasihanilah saya semasa saya bertumbuh untuk menjadi semakin serupa dengan-Mu.
Gereja
Tuhan Yesus, jagalah hati kami daripada perasaan hasad dengki dan cemburu, supaya kami dapat bersukacita dan bahagia melihat orang lain lebih berjaya daripada kami, terutama dalam kalangan keluarga orang percaya.
Bangsa
Kami berdoa agar Kerajaan kami akan tetap bersatu untuk menjadi berkat kepada rakyat Malaysia. Dalam nama-Mu kami berdoa. Amin.




Comments