Apakah Sikapmu?
- 4 days ago
- 2 min read

Berjalan dalam Kerendahan Hati - Hari 4
Ayat Fokus: Filipi 2:4-5
Ada satu perkataan yang agak besar untuk kamu — ‘sikap’. Jika kamu mempunyai sikap, itu bermakna kamu mempunyai cara berfikir atau perasaan terhadap sesuatu. Itulah yang dijelaskan oleh Cikgu Musa kepada kelas Ah Ming dan Gimbang di sekolah. Dia berkata sikap kamu akan terpancar pada wajah malah dalam tingkah laku kamu. Kamu akan sama ada bekerjasama atau tidak bekerjasama.
“Sebagai contoh,” katanya, “setiap pagi di sekolah, saya meminta kamu berdiri tegak dan meletakkan tangan kanan di dada semasa kita menyanyikan lagu Negaraku. Tetapi ada di antara kamu yang masih membongkok dan mula berbisik-bisik sesama sendiri. Sikap seperti itu menunjukkan rasa tidak hormat dan keengganan untuk bekerjasama.”
“Selain itu, setiap kali saya meminta Charlotte dan Adam membuang sampah kelas ke dalam tong besar di luar, mereka sentiasa bekerja bersama sebagai satu pasukan untuk melakukannya. Ini adalah sikap yang memberikan kerjasama. Bukankah ini menjadikan hidup lebih menyenangkan?”
Sikap bermula di dalam fikiran kamu. Jadi, jika kamu mempunyai fikiran yang baik, tingkah laku kamu juga akan menjadi baik. Sebaliknya, fikiran yang buruk akan menghasilkan tingkah laku yang buruk jika kamu membiarkannya. Jika kita adalah pengikut Yesus Kristus, Dia mahu kita mempunyai sikap yang baik kerana itu menyenangkan hati-Nya. Dia mahu kita mencontohi-Nya. Alkitab menyatakan:
“Sikap kamu hendaklah seperti sikap Kristus Yesus.” (Filipi 2:5)
Jika kita meneladani sikap Yesus, kita akan sentiasa melakukan perkara yang betul. Apakah sikap kamu?
Renungkan: Sikap saya seharusnya seperti sikap Kristus Yesus.
DOA
Tuhan Yesus, saya sedang memikirkan tentang apa yang ada dalam fikiran saya dan sikap-sikap yang saya miliki yang tidak seperti sikap-Mu. Saya minta maaf atas segala sikap saya yang salah, terutamanya [sebutkan]. Bantulah saya untuk hidup mencontohi sikap-Mu.
Gereja
Bapa, bantulah Gereja-Mu untuk menjadi seperti Yesus, yang mengambil rupa seorang hamba, memilih untuk mengenal diri-Nya dengan kami, dan menyerahkan kehendak-Nya kepada Allah.
Bangsa
Kami berdoa agar Raja-raja dan pemimpin-pemimpin kami memerintah dengan bijaksana dan adil supaya negara kami diberkati. Dalam nama Yesus saya berdoa. Amin.




Comments