top of page

Bab Kasih

14 hours ago
2 min read

Penyataan Kerendahan Hati dalam Gereja - Hari 34

Ayat Fokus: 1 Korintus 12:31 dan 13:1-3


Gong! Gong! Gong! Bunyi kuat bergema di seluruh rumah. Ah Ming hampir melompat kerana terkejut! Dia melompat keluar dari katil dan menjerit kepada Gimbang, “Bunyi apa itu!?” Ah Ming sedang bercuti di kampung nenek Gimbang semasa cuti sekolah dan dia tidak biasa dengan kehidupan kampung. “Itu hanya bunyi gong,” Gimbang ketawa. “Apa yang berlaku, ini latihan kebakaran ke?” tanya Ah Ming dengan mata terbeliak. “Bukanlah, luculah kamu. Itu tandanya masa untuk bangun dan makan sarapan. Ingat tak, Nenek minta kita sertai dia untuk sarapan majlis perkahwinan?” “Bisingnya,” rungut Ah Ming. Gimbang tersenyum. “Itu tanda makanan sudah siap. Jom pergi!”


Itu mungkin cerita yang lucu, tetapi kamu tahu tak sesuatu yang tidak lucu tentang gong? Alkitab mengatakan bahawa walaupun kita melakukan banyak perkara yang hebat untuk membantu orang lain di gereja tetapi tidak mempunyai kasih, kita adalah seperti gong yang bising atau canang yang berdenting — kuat dan menjengkelkan. Ia seperti bunyi canang tarian singa yang bising semasa Tahun Baru Cina yang berdentang dekat telinga kamu ketika kamu cuba tidur atau mendengar muzik kegemaran kamu. Melayani Tuhan tanpa kasih hanyalah bunyi bising yang tidak bermakna. Tanpa kasih, semua yang kita lakukan hanyalah menunjuk-nunjuk dan akan menjadi seperti sampah yang disebut oleh Rasul Paulus. Ia tidak akan menyenangkan hati Tuhan (lihat Filipi 3:7-8).


Kasih adalah satu ungkapan kerendahan hati. Kita perlu melayani dengan kasih. Jika kita membaca bab tentang kasih (1 Korintus 13), kita dapat melihat bagaimana rupa kasih Tuhan itu. Cuba baca. Kamu akan melihat bahawa kasih itu sabar, baik hati, tidak cemburu atau bermegah; tidak sombong atau kasar, dan banyak lagi. Apabila kita bercakap, menolong atau melayani saudara-saudari di gereja, beginilah caranya — dengan kerendahan hati yang penuh kasih. Inilah SATU KASIH yang kita perlukan kerana ia datang daripada Tuhan melalui Yesus. Dan menurut ayat fokus kita, Rasul Paulus berkata bahawa apabila kita melayani dengan kasih seperti ini, itulah cara yang paling utama.


Renungkan: Adakah saya berinteraksi dengan orang lain dan melayani di gereja dengan kerendahan hati yang penuh kasih?


DOA

Tuhan, apa yang Engkau katakan dalam Firman-Mu tentang kasih adalah benar. Kadangkala kami hanya penuh dengan bunyi dan tindakan tanpa kasih yang lahir daripada kerendahan hati seperti kasih-Mu. Saya minta maaf atas sikap buruk saya. saya tetap perlu belajar untuk membantu dan memberi perhatian dalam Sekolah Minggu atau kumpulan remaja. Terima kasih untuk teguran Firman-Mu.


Gereja

Tuhan, semoga orang percaya di Malaysia bersatu dan bersedia untuk bekerja bersama tanpa selalu berjuang untuk kehendak sendiri — supaya setiap gereja tempatan dapat mencerminkan kerendahan hati dan keharmonian Kristus.


Bangsa

Tuhan, saya berdoa untuk para pemimpin pelbagai agama di negara ini - agar semua menjadi orang yang bertanggungjawab yang akan menjadi teladan yang baik kepada orang lain. Dalam nama Tuhan Yesus saya berdoa. Amin.

1 Comment


oliviatvis
2 hours ago

Tools like this can be useful when planning an index trade. Instead of estimating everything mentally, you can enter the relevant parameters and get an idea of the potential profit or loss for the position. https://roboforex.com/beginners/start/profit-and-loss-calculator/indices/

Like
bottom of page