top of page

Berdoa Untuk Media


Ayat Firman Tuhan:

Amsal 28:2 (AVB) Ketika sebuah negeri memberontak, akan ada ramai penguasanya, tetapi jika adanya seorang yang berpengertian dan berpengetahuan, maka negeri itu akan bertahan.


 

Perkara Doa: 1. Sepakat berdoa untuk Media - penyampaian maklumat yang tepat

2. Sepakat berdoa untuk Media - kebebasan yang membangun



 

Doa:


Bapa kami di syurga, kami bersyukur kepada-Mu pada subuh yang baru. Pemeliharaan-Mu nyata bagi kami. Kami dapat tidur semalam dengan lena kerana Engkau menaungi kami dengan sayap kekuatan-Mu. Kami bangun pada subuh ini kerana Engkau yang menopang kami. Rahmat-Mu baru setiap pagi dan kebaikan-Mu tidak ada henti-hentinya. Engkau baik, sungguh amat baik bagi kami. Terpujilah nama-Mu. Haleluyah!


Bapa, kerajaan-Mu datanglah, terlaksanalah kehendak-Mu di bumi sepertimana di syurga. Engkau tahu ya Tuhan, betapa penting peranan media untuk manusia. Kami percaya Tuhanlah yang memberi hikmat kepada manusia untuk merekacipta media untuk penyampaian informasi yang memperluas pengetahuan. Kami yakin adalah kehendak-Mu agar media seharusnya menyampaikan maklumat yang bersifat membina dan membangun. Oleh itu ya Bapa, kami memohon kepada-Mu agar menolong kami untuk menggunakan media untuk kebaikan. Mengggunakan media untuk berkongsi informasi yang tepat, jelas dan benar. Bapa, biarlah Roh-Mu meningatkan kami supaya tidak menyalahgunakan media untuk menyebar berita palsu, memfitnah, memprovokasi dan mengapi-apikan sentimen agama dan perkauman. Tolonglah kami menjadi masyarakat yang mencintai perpaduan dan keamanan. Bimbing kami untuk selalu berpikir sebelum menyampaikan atau berkongsi maklumat menerusi media. Tolong kami agar tidak mudah percaya cerita atau khabar yang disampaikan melalui media. Pimpinlah kami supaya tujuan penyampian maklumat adalah merupakan perkongsian ilmu.


Bapa, kami memohon agar Engkau membimbing para pengamal media. Kiranya Roh-Mu mengingatkan mereka betapa pentingnya peranan dan berpengaruh mereka sebagai pengamal media. Biarlah mereka menyedari tanggungjawab mereka untuk mendidik masyarakat agar hidup saling menghormati, bersatu padu, bergotong-royong dan bertoleransi di antara masyarakat yang majmuk ini. Kami mohon kepada-Mu agar pihak media tidak menyalahguna kebebasan bersuara untuk meraih rating atau mencari populariti. Melainkan bertujuan memberi dorongan dan membangkitkan semangat rakyat untuk terus maju dan tidak mengalah kepada kesan covid-19 serta membantu kerajaan menyemarakkan perpaduan rakyat Persekutuan Malaysia. Biarlah ada keseimbangan media antara kerajaan persekutuan dan lerajaan negeri.


Bapa, tolong bimbing kami untuk menggunapakai media bagi kerajaan-Mu. Perintah-Mu jelas ya Bapa iaitu agar kami memberitakan Injil kerajaan-Mu kepada semua bangsa. Kami percaya, semua orang berpeluang diselamatkan dari kebinasaan kekal. Kami percaya Yesus Kristuslah adalah satu-satunya jalan dan kebenaran dan hidup. Oleh itu kami wajib memberitakan Injil Yesus Kristus. Kiranya Engkau memberi hikmat dan kebijaksanaan menggunakan media untuk keselamatan jiwa-jiwa dan kemuliaan bagi-Mu. Untuk kami, ya Tuhan, tolonglah kami pada hari ini dalam menggunapakai media sosial untuk saling membangun dan mendorong dalam iman. Terpujilah nama-Mu, dalam nama Yesus Kristus. Amin.


Pr Hamjah @ Hamzah Sabin

bottom of page