Cepat Mengampuni
- 6 minutes ago
- 2 min read

Ciri-ciri Kerendahan Hati - Hari 13
Ayat Fokus: Kolose 3:12-13; 1 Yohanes 1:9; dan Kejadian 37, 39-45:8
“Bersikap cepat mengampuni,” Cikgu Hannah menjelaskan kepada kelas remaja pada hari Ahad, “adalah satu cara kita menunjukkan kerendahan hati. Ia tidak sentiasa mudah untuk mengampuni, tetapi kerana kita milik Yesus, kita harus mengampuni orang lain sama seperti Dia mengampuni kita.”
“Seberapa cepat kita perlu mengampuni seseorang?” tanya Charlotte. “Adik kembar saya, Chad dan Cheruba, selalu mengganggu saya untuk bermain dengan mereka apabila saya mahu belajar. Itu membuat saya sangat marah. Saya tidak mahu mengampuni mereka langsung!”
“Itu soalan yang sangat bagus, Charlotte. Biar saya ceritakan kisah Yusuf dan lihat jika ia dapat membantu kamu. Yusuf mempunyai 11 orang saudara lelaki. Sepuluh daripada mereka sangat cemburu kepadanya dan mahu menyingkirkannya. Mereka menjualnya dan dia menjadi hamba di Mesir, jauh dari rumah!”
“Kemudian, keadaan menjadi lebih buruk bagi Yusuf. Seseorang telah memfitnahnya, dan dia dipenjarakan selama bertahun-tahun.”
Suzie mencelah, “Kalau saya, saya pasti sangat marah dan tidak mahu mengampuni!”
“Saya faham perasaan itu, Suzie. Tetapi ceritanya belum habis! Akhirnya Yusuf keluar dari penjara kerana dia mampu, dengan bantuan Tuhan, mentafsir mimpi Firaun. Firaun (raja Mesir) sangat berterima kasih sehingga dia menjadikan Yusuf seorang VVIP!”
“Bukankah berlaku kebuluran besar selepas itu, dan saudara-saudaranya datang mencari makanan?” tanya Charlotte. Cikgu Hannah mengangguk. “Ya, Yusuf mengenali mereka dan menguji mereka untuk melihat jika mereka masih jahat. Kemudian dia memberitahu mereka bahawa dia adalah Yusuf, dan mereka sangat ketakutan. Tetapi Yusuf berkata, ‘Jangan takut. Sebenarnya Tuhanlah yang menghantar saya ke sini untuk menyelamatkan nyawa orang ramai semasa kebuluran ini, termasuk kamu!’”Inilah cara Yusuf mengatakan, “Saya mengampuni kamu!”
“Yesus mengampuni kita begitu banyak. Dia mahu kita menjadi seperti-Nya. Dia mengampuni dengan segera. Dia berkata kita juga harus mengampuni. Kita boleh berbincang dengan mereka yang menimbulkan masalah. Charlotte, sebagai contoh, kamu boleh menetapkan masa bermain dengan si kembar dan juga masa belajar tanpa mereka mengganggu kamu.”
Renungkan: Jadilah cepat untuk mengampuni.
DOA
Bapa di syurgai, Anak-Mu Yesus begitu cepat mengampuni dosa kami. Saya sangat bersyukur. Tetapi seringkali sukar bagi saya untuk mengampuni orang lain. Seolah-olah ada batu di dalam hati saya yang menghalang saya daripada mengampuni mereka yang telah menyakiti saya. Namun, saya faham bahawa Engkau memerintahkan saya untuk mengampuni. Saya mahu taat dengan pertolongan Roh Kudus-Mu.
Gereja
Bapa di syurga, bantulah kami untuk mengampuni mereka yang memperlakukan kami dengan tidak adil. Seperti Yusuf, semoga Tuhan menggunakan hidup kami untuk menjadi berkat kepada ramai orang kerana kami telah mentaati-Mu.
Bangsa
Tuhan Yesus, semoga para pemimpin negara kami sentiasa ingat untuk melayani semua rakyat Malaysia terlebih dahulu, melebihi kepentingan diri mereka sendiri. Dalam nama-Mu saya berdoa. Amin.




Comments