Ciri-ciri Kerendahan Hati
- 1 day ago
- 2 min read

Ciri-ciri Kerendahan Hati - Hari 10
Ayat Fokus: Amsal 11:2
Cikgu Musa membawa beberapa biji manggis ungu ke sekolah dan menyusunnya di atas meja. “Hari ini, murid-murid,” katanya, “kita akan belajar bagaimana untuk menggambarkan sesuatu objek. Apabila kita menggambarkan objek, kita memikirkan tentang saiz, bentuk, rasa sentuhan, warna, bau, dan dalam kes ini, rasa. Semua ini menunjukkan ‘ciri-ciri’ sesuatu objek. Jadi, bagaimana kamu akan menggambarkan sebiji manggis?”
Charlotte menjawab, “Bulat dan ungu.” Ah Ming bangun, menyentuh manggis itu, dan berkata, “Kulitnya terasa agak lembut.” Adam berlari ke hadapan, membuka sebiji manggis dan mengambil seulas isinya. “Oh, isinya putih, lembut, manis, dan berair!” katanya sambil tersenyum lebar. “Bagus!” Cikgu Musa tersenyum. “Sekarang tulis satu perenggan untuk menggambarkan manggis mengikut kata-kata kamu sendiri.”
Begitu juga dalam kelas remaja pada hari Ahad, Cikgu Hannah bercakap tentang ciri-ciri kerendahan hati. “Adalah lebih sukar untuk menggambarkan kerendahan hati berbanding manggis,” katanya. “Banyak yang boleh kita katakan, tetapi mari kita fikirkan tentang beberapa perkara ini. Apabila kita rendah hati, kita akan menumpukan perhatian kepada orang lain. Kita akan mendengar mereka dengan hormat sambil menutup mulut kita. Kita akan cepat memaafkan. Kita akan melihat yang terbaik dalam diri orang lain. Kita akan mengakui kesilapan sendiri, dan kita tidak akan terlalu sombong untuk meminta bantuan daripada orang lain.”
“Wah!” kata Gimbang, “banyak yang perlu kita pelajari!”
“Pokok manggis tidak tumbuh dalam satu malam. Ia tumbuh secara perlahan-lahan selama bertahun-tahun dan akhirnya berbuah. Apabila kita berlatih merendahkan diri dengan sabar, ia akan mengambil masa tetapi kamu akan menjadi lebih bijak dalam semua perkara ini dan orang lain akan diberkati melalui kamu,” kata Guru Hannah mengakhiri pelajaran.
Renungkan: Mari kita mempraktikkan ciri-ciri kerendahan hati.
DOA
Tuhan Yesus, sekali lagi saya ingin mengucapkan terima kasih kerana Engkau telah menunjukkan kepada kami kerendahan hati yang sejati. Ia kelihatan begitu mencabar tetapi saya tahu latihan akan membawa kepada kesempurnaan. Semoga Roh Kudus-Mu menolong saya untuk mempelajari semua ciri kerendahan hati ini supaya saya dapat meneladani Engkau.
Gereja
Tuhan, bantulah Gereja-Mu untuk menjadi rendah hati, supaya Engkau menerima segala kemuliaan. Walaupun kami mengatakan perkara yang baik tentang diri kami, biarlah kami hanya bermegah kerana mengenal Engkau.
Bangsa
Kami berdoa agar Raja dan para pemimpin kami menjadi sangat bijaksana untuk mengetahui bila harus menjimatkan wang dan sumber-sumber lain di negara kami, supaya tidak berlaku pembaziran. Dalam nama-Mu aku berdoa. Amin.




Comments