DOA NECF Hari 24: Kekuasaan Tuhan
- Komuniti Digital 05

- Aug 30
- 2 min read

Kitab Suci: Amsal 9:10, 1 Samuel 24
Saul telah pergi ke sebuah gua untuk buang air, tanpa mengetahui bahawa Daud dan anak-anak buahnya ada di dalam. Daud dapat menggunakan kesempatan itu untuk membunuh Saul, tetapi dia tidak melakukannya. Sebaliknya, dia menyelinap tanpa diketahui dan memotong hujung jubah Saul.
Setelah itu, Daud berasa bersalah kerana telah memotong secebis pakaian Saul. Dia berkata kepada anak buahnya, "Dijauhkan Tuhanlah kiranya dari padaku untuk melakukan hal yang demikian kepada tuanku, kepada orang yang diurapi TUHAN, yakni menjamah dia, sebab dialah orang yang diurapi TUHAN." Ketika Saul menyedari apa yang telah terjadi,dia berseru kepada Daud, "Engkau lebih benar dari pada aku, sebab engkau telah melakukan yang baik kepadaku, padahal aku melakukan yang jahat kepadamu."
Mengapa Daud tidak membunuh Saul? Lagipun, Tuhan telah mengambil kerajaan daripada Saul dan memberikannya kepada Daud. Dan dia mendapat desakan orang-orangnya untuk menyokongnya.
Amsal 9:10 mengatakan, “Permulaan hikmat adalah takut akan TUHAN, dan mengenal Yang Mahakudus adalah pengertian..” Daud tahu bahawa Saul adalah orang pilihan Tuhan dan Saul juga adalah raja Israel. Oleh itu, Saul memiliki kuasa Tuhan, dan Daud harus menghormatinya. Dan bagi Daud untuk melakukannya kerana takut akan Tuhan adalah terpuji. Bahkan setelah Saul meninggal, Daud tetap menghormati orang pilihan Tuhan dengan menggubah lagu pengebumian untuk menghormatinya (lihat 2 Samuel 1:17).
Mengakui kekuasaan Tuhan dalam orang-orang pilihan-Nya bererti menghormati Tuhan. Ini juga merupakan tindakan penyembahan. Apa yang dilakukan Daud ternyata menguntungkannya ketika Saul membalasnya dengan berkata, “Oleh karena itu, sesungguhnya aku tahu, bahwa engkau pasti menjadi raja dan jabatan raja Israel akan tetap kokoh dalam tanganmu. .” (1 Samuel 24:21)
Doa Hari Ini:
Bapa Surgawi, saya mengaku bahawa saya telah berdosa terhadap orang-orang pilihan-Mu. Saya telah memberontak terhadap mereka dan bukannya tunduk kepada mereka. Saya telah merungut terhadap mereka dan bukannya berdoa untuk mereka. Saya ingin menebus diriku dengan mengikuti teladan Daud dengan Saul. Saya ingin bertumbuh dalam hikmat dan kebijaksanaan, disenangi manusia dan Tuhan, jadi tolonglah saya, Tuhan. Dalam Nama Yesus, Amin.
Berdoa agar kita, sebagai orang percaya kepada Kristus, akan bersukacita di dalam Tuhan, berdoa secara berterusan dan mengucap syukur kepada Tuhan dalam segala keadaan, dan menjalani kehidupan yang layak bagi panggilan-Nya. (1 Tesalonika 5:16-18)
Banci tahun 2010 di Malaysia menunjukkan penduduk Kristian ialah sebanyak 9.2% sementara banci tahun 2020 menunjukkan penurunan yang membimbangkan iaitu menjadi 9.1%. Berdoalah agar gereja-gereja di Malaysia tekun dan bersungguh-sungguh dalam penginjilan, penanaman gereja, dan pelayanan.
Rev John Lim




Comments