top of page

DOA NECF Hari 5: Bangsa yang Takut akan Tuhan

ree

Konsep “bangsa yang takut akan Tuhan” disebut khususnya berkaitan dengan Israel dan negara lain yang mengakui kedaulatan Tuhan.


Israel: Israel sering digambarkan sebagai bangsa yang dipilih oleh Tuhan untuk menyembah dan mengabdi kepada-Nya. Konsep takut akan Tuhan berkait rapat dengan hubungan perjanjian mereka denganNya. Ulangan 10:12-13 dan Mazmur 33:8 menekankan pentingnya rasa hormat dan ketaatan kepada Tuhan.


Bangsa Lain: Bangsa-bangsa bukan Israel menyatakan satu bentuk penghormatan kepada Tuhan, mengakui autoriti dan kuasaNya. Dalam Yunus 3, penduduk Niniwe takut akan Tuhan dan mereka bertaubat selepas amaran Yunus. Daniel 4:34-37 menggambarkan Raja Nebukadnezar dari Babel mengakui dan takut akan Tuhan selepas tempoh kerendahan hatinya.


Mazmur 33:8 berkata: “Biarlah segenap bumi takut kepada TUHAN, biarlah semua penduduk dunia gentar terhadap Dia! “ Pemazmur menyeru semua orang di bumi untuk dengan hormat mengakui dan takut akan Tuhan, mengakui kekuasaan-Nya yang tertinggi sebagai Pencipta dan Penguasa atas semua ciptaan. Menurut Alkitab, apabila sesebuah negara takut akan Tuhan, beberapa kesan positif ditonjolkan:


1. Berkat dan kemakmuran: Mazmur 33:12 berkata, “Berbahagialah bangsa, yang Allahnya ialah TUHAN, suku bangsa yang dipilih-Nya menjadi milik-Nya sendiri!”

2. Kebenaran dan keadilan: Amsal 14:34 menyatakan, “Kebenaran meninggikan derajat bangsa, tetapi dosa adalah noda bangsa.”

3. Perlindungan Ilahi: Mazmur 34:8 mencadangkan bahawa, “Malaikat TUHAN berkemah di sekeliling orang-orang yang takut akan Dia, lalu meluputkan mereka.”

4. Kedamaian dan kestabilan: Yesaya 26:3 berbicara tentang kedamaian, “Yang hatinya teguh Kaujagai dengan damai sejahtera, sebab kepada-Mulah ia percaya.”

5. Kebijaksanaan dan bimbingan: Amsal 9:10 mengajar, “Permulaan hikmat adalah takut akan TUHAN, dan mengenal Yang Mahakudus adalah pengertian.”

6. Pemulihan dan penyembuhan: 2 Tawarikh 7:14 menjanjikan, “dan umat-Ku, yang atasnya nama-Ku disebut, merendahkan diri, berdoa dan mencari wajah-Ku, lalu berbalik dari jalan-jalannya yang jahat, maka Aku akan mendengar dari sorga dan mengampuni dosa mereka, serta memulihkan negeri mereka.”


Ringkasnya, apabila sesebuah negara takut akan Tuhan, ia akan mengalami berkat, keadilan, perlindungan, keamanan, kebijaksanaan, dan potensi pemulihan.


Doa:

● Bapa Syurgawi, jadikanlah kami bangsa yang takut akan Engkau di mana kami akan saling menghormati antara satu sama lain, dan hidup dalam kesatuan, persefahaman dan kasih. Kiranya kasih-Mu mengubah hati kami, membawa kesembuhan, kedamaian dan harapan kepada semua. Dalam nama Yesus, Amin.

● GEREJA - Berdoa agar Gereja meninggalkan semua penyembahan berhala dan keinginan dan motif yang mementingkan diri sendiri, dan agar jemaah akan menjalani kehidupan yang serupa dengan Kristus dan berpusatkan Kristus. (Yosua 24:14)

● BANGSA - Berdoa agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menjalankan kuasa dan tugasnya secara bebas, telus dan profesional, tanpa dikompromikan oleh sebarang pengaruh atau campur tangan politik.


Dr Henry Padin

Comments


bottom of page