Doa Penyembahan dan Kesyukuran
- Komuniti Digital 03

- Aug 5
- 2 min read

Doa penyembahan dan kesyukuran ialah masa kita memuji Tuhan kerana siapa Dia, dan berterima kasih kepada-Nya atas segala yang telah dilakukan-Nya dalam hidup kita.
Doa ini bukan untuk meminta apa-apa, tetapi untuk mengagungkan Tuhan dan menghargai kasih-Nya.
Bayangkan seseorang beri kita hadiah yang kita impikan lama. Apa kita buat? Kita pasti tersenyum dan ucap terima kasih.
Begitu juga dengan Tuhan. Tuhan telah beri kita:
Hidup
Keselamatan
Kasih tanpa syarat
Dan setiap hari Tuhan menjaga kita. Jadi, doa penyembahan dan kesyukuran ialah cara kita berkata:
“Tuhan, Engkau sungguh baik. Aku bersyukur atas semua yang Engkau buat dalam hidupku.”
Mazmur 100:4 (AVB)
"Masuklah melalui pintu gerbang-Nya dengan nyanyian syukur, ke dalam pelataran-Nya dengan puji-pujian; bersyukurlah kepada-Nya dan pujilah nama-Nya."
Ayat ini mengingatkan kita bahawa kita patut datang kepada Tuhan dengan hati yang bersyukur dan mulut yang memuji. Kita tidak perlu tunggu berkat baru untuk bersyukur, kasih Tuhan sudah cukup untuk disyukuri setiap hari.
Kenapa Doa Penyembahan & Kesyukuran Penting?
Mengalihkan fokus kita daripada masalah kepada Tuhan.
Kita mudah risau. Tapi bila kita puji Tuhan, kita sedar betapa besar dan berkuasanya Dia.
Menguatkan iman.
Mengingati segala yang Tuhan telah lakukan buat hati kita jadi lebih tenang dan percaya.
Mengukuhkan hubungan kita dengan Tuhan.
Sama seperti hubungan dengan orang tersayang, kita bukan sekadar minta tolong, tetapi juga luahkan kasih dan terima kasih.
Sebelum kita minta apa-apa daripada Tuhan hari ini, cuba mulakan doa dengan pujian dan ucapan syukur.
Lihat sekeliling, adakah ada sesuatu yang boleh kamu syukuri hari ini?
Kesihatan? Keamanan? Keluarga? Udara segar? Itu semua bukti kasih Tuhan.
Soalan untuk direnungkan:
Adakah saya hanya berdoa bila saya perlukan sesuatu?
Bila kali terakhir saya hanya duduk diam, dan memuji Tuhan tanpa meminta apa-apa?
Doa bimbingan
Ya Tuhan yang kudus dan mulia, Engkaulah Allah yang penuh kasih dan setia. Aku memuji-Mu kerana Engkau tidak pernah meninggalkan aku. Terima kasih atas hidup hari ini, atas nafasku, atas keluarga dan sahabat yang Engkau berikan. Terima kasih kerana Engkau mengasihi aku walaupun aku sering gagal. Aku bersyukur, Tuhan. Aku memuliakan nama-Mu. Amin.




Comments