Doa Permohonan dan Syafaat
- Komuniti Digital 03

- Aug 7
- 2 min read

Doa permohonan ialah doa untuk keperluan diri sendiri, manakala doa syafaat ialah doa yang kita panjatkan untuk orang lain.
Dalam doa ini, kita membawa isi hati kita kepada Tuhan sama ada dalam kesusahan, kebimbangan, atau harapan dan kita juga menjadi penyambung kasih Tuhan kepada orang lain melalui doa.
Tuhan sangat mengasihi kita dan ingin kita bercakap dengan-Nya tentang apa sahaja.
Bila kita perlukan kekuatan, hikmat, penyembuhan, atau jawapan kita boleh datang kepada-Nya.
Dan bukan itu sahaja kita juga boleh berdoa untuk orang lain seperti keluarga, rakan, bangsa, atau sesiapa yang sedang dalam kesusahan.
Doa permohonan: “Tuhan, tolong aku yang sedang lemah.”
Doa syafaat: “Tuhan, tolong sahabatku yang sedang sakit.”
Filipi 4:6 (AVB)
"Jangan bimbangkan apa pun. Dalam segala hal, dengan berdoa dan memohon, dengan mengucapkan kesyukuran, beritahulah hasratmu kepada Allah."
Tuhan mahu kita datang kepada-Nya dalam segala perkara besar atau kecil. Dia sudi mendengar dan bertindak pada waktunya.
Mengapa Doa Permohonan dan Syafaat Penting?
Menunjukkan kebergantungan kita kepada Tuhan
Kita tidak mampu buat semuanya sendiri. Doa ialah pengakuan bahawa kita memerlukan pertolongan Tuhan setiap hari.
Menjadi saluran berkat kepada orang lain
Apabila kita mendoakan orang lain, kita menjadi perantara kasih Tuhan dalam hidup mereka.
Membentuk hati yang peka dan penyayang
Doa syafaat menjadikan kita lebih prihatin terhadap keperluan orang di sekeliling kita, dan tidak hidup untuk diri sendiri sahaja.
Kadang-kadang kita terlalu sibuk hingga lupa berdoa, atau kita rasa malu untuk meminta. Tetapi Tuhan tidak pernah jemu mendengar. Dia mengasihi kita, dan mahu kita datang kepada-Nya dalam setiap keadaan.
1 Timotius 2:1 (AVB)
"Pertama-tama aku menyeru supaya permohonan, doa, syafaat dan kesyukuran dinaikkan untuk semua manusia"
Soalan untuk direnungkan:
Adakah aku bergantung kepada Tuhan dalam segala perkara melalui doa?
Siapakah yang perlu aku doakan hari ini?
Doa Bimbingan
"Ya Tuhan, Bapa yang penuh kasih,
Aku datang kepada-Mu hari ini kerana hanya Engkaulah sumber kekuatan dan pengharapanku.
Dalam kelemahan dan kebimbangan, aku memohon hikmat dan ketenangan-Mu agar aku dapat membuat keputusan dengan bijaksana dan seturut kehendak-Mu.
Tuhan, aku juga menyerahkan ayahku ke dalam tangan-Mu.
Jamahlah tubuhnya dengan kuasa-Mu yang menyembuhkan,
dan penuhilah hatinya dengan pengharapan dan damai sejahtera dari-Mu.
Aku percaya, Tuhan, bahawa Engkau mendengar setiap seruanku
dan Engkau akan menjawab dengan cara dan waktu yang terbaik menurut rancangan-Mu.
Terima kasih atas kasih setia-Mu yang tidak pernah gagal.
Dalam nama Yesus, aku berdoa. Amin."




Comments