DOA PUASA KEBANGSAAN Hari 19 : Pendoa Syafaat
- Mar 19
- 2 min read

Bacaan Alkitab: 1 Timotius 2:1-2
“Pertama sekali aku menggesa supaya doa permohonan dan ucapan syukur disampaikan kepada Allah untuk semua orang, untuk raja-raja dan semua penguasa. Berdoalah kepada Allah supaya kita boleh hidup dengan aman dan tenteram. Kita harus menghormati Allah, dan berlaku sopan terhadap orang lain”.
Pengertian pendoa ialah, menjadi pengantara antara Allah dan subjek yang didoakan. Tetapi di dalam kehidupan kristian masa kini, pendoa syafaat selalu diklasifikasikan sebagai suatu kumpulan orang kristian yang kuat berdoa sehingga ada suatu kumpulan yang terbentuk dan menjadi terasing dari orang-orang kristian yang lain. Masalah dari situasi ini ialah ;
Orang-orang kristian yang lain mulai berfikir dan beranggapan bahawa ada karunia khusus sebagai pendoa-pendoa syafaat. Hal demikian tidak alkitabiah kerana semua orang kristian sebenarnya diberikan tanggungjawab sebagai pendoa syafaat.Bukan hanya orang-orang tertentu.
Ahli-ahli dalam kumpulan pendoa syafaat mulai berfikir bahawa mereka ialah orang yang lebih hebat dalam berdoa. Doa mereka lebih baik dari orang lain, lebih didengar Allah dan sebagainya.
Orang-orang kristian yang lain juga mulai memandang serong kumpulan-kumpulan pendoa yang seperti ini. Mereka beranggapan bahawa mereka tidak boleh masuk ke dalam kumpulan seperti ini jika tidak menjadi pendoa syafaat seperti mereka.
SEMUA ORANG KRISTIAN IALAH PENDOA SYAFAAT!!
Allah memberikan tanggungjawab untuk berdoa kepada semua orang yang menerima Yesus Kristus sebagai Tuhan dan juruselamatnya. Paulus memberikan nasihat kepada Timotius, malahan dalam setiap surat yang dituliskan olehnya kepada jemaah-jemaah Tuhan dalam setiap suratnya, supaya semua orang percaya mendoakan banyak perkara. Jadi, marilah kita menyedari bahawa kita semua, orang kristian ialah pendoa syafaat. Bukan hanya segelintir dari kita sahaja.
Fokus Doa
Gereja-gereja di Malaysia
Doakan agar gereja-gereja Tuhan di seluruh Malaysia tetap menjadi terang dan
garam bagi negara ini.
Doakan agar gereja-gereja ini tetap kuat dalam segala perkara walaupun banyak tekanan yang dihadapi.
Doakan agar gereja-gereja Tuhan di seluruh Malaysia tetap bersatu tanpa
mengira denominasi atau aliran.Kasih Kristus menjadi dasar utama di dalam
gereja, dan kasih inilah yang mempersatukan semua gereja di Malaysia.
Doakan agar banyak orang mencari kebenaran melalui kesaksian hidup orang-
orang percaya.
Doakan agar kerajaan tetap memelihara dan melindungi hak-hak orang bukan
Islam yang termaktub di dalam Perlembagaan Malaysia.




Comments