DOA PUASA KEBANGSAAN Hari 20 : Mukjizat Terbesar
- Mar 20
- 2 min read

Bacaan Alkitab: Kisah Para Rasul 16:25-33
“Kira-kira tengah malam Paulus dan Silas berdoa dan menyanyikan puji-pujian kepada Allah. Orang tahanan yang lain mendengar mereka. Tiba-tiba berlaku gempa bumi yang kuat sekali, sehingga asas penjara itu bergoncang. Semua pintu penjara terbuka dan rantai yang membelenggu semua orang tahanan pun terlepas. Ketua penjara itu terjaga, dan apabila dia nampak pintu-pintu penjara terbuka, dia menyangka semua orang tahanan sudah lari. Oleh itu dia menghunus pedang untuk membunuh diri. Tetapi Paulus berseru dengan kuat sekali, “Jangan bunuh diri! Kami semua masih di sini!”
Ketua penjara itu meminta suluh lalu lari ke dalam, dan dengan gementar dia menjatuhkan diri pada kaki Paulus dan Silas. Kemudian ketua penjara itu membawa mereka keluar dan berkata, “Tuan-tuan, apakah yang harus saya lakukan supaya diselamatkan?”
Paulus dan Silas menjawab, “Percayalah kepada Tuhan Yesus, lalu kamu akan diselamatkan - kamu dan keluargamu!” Lalu Paulus dan Silas menerangkan firman Tuhan kepada ketua penjara itu dan kepada semua orang di rumahnya. Pada malam itu juga, ketua penjara itu membawa mereka ke suatu tempat dan membasuh luka-luka mereka. Lalu dia dan keluarganya dibaptis”.
APA MUKJIZAT YANG TERBESAR DI DALAM ALKITAB?
Alkitab mencatatkan begitu banyak perkara ajaib, perkara yang diluar kemampuan manusia biasa. Laut dibelah dua, orang sakit disembuhkan, orang kerasukan setan dilepaskan, malahan orang yang sudah mati juga dibangkitkan semula. Semua ini terjadi apabila Allah berkerja. Tapi adakah semua hal-hal ajaib yang berlaku ini sesungguhnya mukjizat yang terbesar??
Alkitab mencatatkan ada dua situasi dimana syurga terbuka, syurga bersukacita kerana situasi itu terjadi. Bukan mukjizat kesembuhan, bukan kerana orang mati dibangkitkan, bukan kerana laut merah dibelah dua syurga bersukacita. Situasi itu ialah, yang pertama ketika Tuhan Yesus Kristus dilahirkan. Para gembala melihat malaikat syurga bersuka, mereka bernyanyi memuji Allah, ketika Yesus Kristus dilahirkan. Situasi kedua ialah, apabila ada satu jiwa terhilang yang menerima Yesus Kristus sebagai Tuhan dan juruselamatnya(Lukas 15:7).
Ketika Paulus dan Silas dipenjarakan di Filipi, tujuan Allah ialah untuk mengadakan mukjizat terbesar itu. Bukan mukjizat gempa bumi terjadi, pintu penjara terbuka atau rantai di kaki mereka terlerai, tetapi mukjizat itu ialah apabila ketua penjara dan seluruh keluarganya menerima Tuhan Yesus Kristus sebagai Tuhan dan juruselamat mereka.Inilah tujuan Allah itu. Inilah mukjizat terbesar yang pernah ada dan tidak ada lagi yang lebih besar dari ini.
Ketika kita berdoa, janganlah fokuskan doa kita hanya untuk meminta kesembuhan atau hal-hal keperluan fizikal sahaja. Berdoalah supaya mukjizat terbesar ini tetap berlaku setiap masa supaya semakin banyak orang yang menemukan jalan keselamatan di dalam Yesus Kristus. Jadikanlah ini sebagai beban dalam berdoa.
Fokus Doa
Keamanan dan kesejahteraan negara
Berdoa agar Tuhan melindungi Malaysia daripada sebarang ancaman luar seperti peperangan, serangan pengganas, atau campur tangan kuasa asing.
Berdoa untuk polis, tentera, dan pasukan keselamatan negara agar mereka
diberikan kebijaksanaan, kekuatan, dan keberanian untuk menjaga keamanan
negara dengan adil dan berkesan.
Berdoa agar sempadan Malaysia dilindungi daripada penyeludupan, kemasukan pendatang tanpa izin, atau ancaman lain yang boleh menjejaskan keselamatan rakyat.
Doakan agar setiap rakyat malaysia mempunyai peluang pekerjaan yang adil.
Doakan agar kerajaan dapat menyediakan sistem kesihatan yang baik bagi semua rakyat Malaysia.




Comments