top of page

Engkaulah Penolong dan Penyelamat Saya


Bacaan Alkitab: Mazmur 36-45


Dalam Mazmur 40, Daud menyatakan iman yang yakin berdasarkan keyakinannya bahawa keselamatan dan pembebasan hanya datang daripada Tuhan. Walaupun tekanan yang luar biasa dia hadapi, Daud melepaskan kekecewaannya kepada Tuhan dan tenteram dalam kekuatan-Nya.


Semasa zaman Daud, jika seorang hamba mengasihi tuannya, dia akan membuat perjanjian seumur hidup untuk kekal dalam perkhidmatannya (Keluaran 21:6). Untuk menandakan janji ini, tuan akan menindik telinga hamba dengan penindik yang tajam. Daud menggunakan amalan ini sebagai metafora cinta dan pengabdiannya kepada Tuhan. Dia mengasihi Tuhan dan telah memasuki satu perjanjian ketaatan untuk seumur hidup kepada-Nya (Mazmur 40:6).


Dia memahami bahawa rahsia kehidupan yang menggembirakan tidak terletak pada pengorbanan kosong tetapi satu gaya hidup yang sepenuhnya menyerah kepada kehendak Tuhan: “Aku suka melakukan kehendak-Mu” (ayat 8). Walaupun Daud dalam pelarian dan sedang cuba menyelamatkan dirinya, dia menjadikan amalannya untuk bercakap dengan Tuhan tentang kekecewaannya dan mendapati kegembiraan dalam ketaatan.


Kehidupan yang penuh kegembiraan tidak bergantung pada keadaan luaran, jaminan ekonomi atau kesihatan yang baik. Kegembiraan timbul apabila kita memahami siapa Tuhan dan menjalani kehidupan kita seperti yang Dia kehendaki, dengan sikap yang dinyatakan oleh Yesus di taman Getsemani, “Tetapi, bukannya kehendak-Ku, melainkan kehendak-Mu yang dilaksanakan.” (Lukas 22:42) Apabila kita mentaati Tuhan, kita menikmati persekutuan yang sama dengan Dia seperti yang Yesus dan Daud nikmati.


Marilah kita memohon kepada Tuhan kekuatan untuk menyerahkan kawalan dan mengikuti pimpinan Yesus yang menjadi teladan bagi kita pada satu kehidupan yang diberkati kerana menyerah kepada kehendak Bapa yang sempurna kerana, sesungguhnya, Dia adalah penolong dan penyelamat kita.


Doa:

Tuhan Yesus, kami mengakui kedaulatan dan Ketuhanan-Mu atas hidup kami. Kami berjanji akan setia kepada-Mu dan, seperti mata hamba memandang kepada tuan mereka, kami akan sentiasa memandang kepada-Mu sahaja! Amin.


Pr Jeffery Chua, NECF


Comments


bottom of page