Halangan Baptisan
- 2 days ago
- 2 min read

Manfaat Kerendahan Hati - Hari 23
Ayat Fokus: Matius 28:18-20
Charlotte sangat menyukai acara Lari Berpagar semasa hari sukan olahraga. Dia berasa seolah-olah boleh terbang melintasi pagar-pagar itu. Dia juga sangat berhati-hati agar tidak menjatuhkan mana-mana halangan. Pernah sekali, dia tidak meletakkan kedudukan kakinya dengan betul dan lututnya terlanggar satu pagar. Itu melambatkan pergerakan dia, tetapi dia terus 'terbang' sehingga ke garisan penamat.
Dalam kehidupan seharian, kita juga mempunyai halangan. Ini adalah hari-hari yang sukar - mungkin ada peperiksaan yang mencabar, atau seseorang sedang sakit di rumah dan kita risau tentang mereka. Atau mungkin ada tekanan rakan sebaya untuk mencuba merokok di kawasan sekolah. Tidak mudah untuk 'berlari' atau 'terbang' melepasi halangan-halangan yang mencabar ini.
Seorang Kristian baru juga akan menghadapi halangan, terutama jika dia berasal daripada keluarga bukan Kristian. Pihak keluarga mungkin tidak mahu dia dibaptiskan. Atau dia mungkin merasa malu untuk berdiri di hadapan begitu ramai orang semasa dibaptis.
Apabila kita membaca ayat fokus, kita belajar bahawa baptisan adalah perintah Yesus. Dia memberitahu murid-murid-Nya untuk 'menjadikan semua bangsa murid-Ku'. Mereka harus dibaptiskan. DAN kemudian mengajar murid-murid baru ini untuk "taat akan segala perkara" yang telah Yesus perintahkan kepada mereka. Saya percaya bahawa untuk ‘taat akan segala perkara’ memerlukan kerendahan hati.
Selepas kita datang kepada Kristus, perjalanan kita yang rendah bersama Tuhan akan membawa kita untuk taat kepada perintah-Nya untuk dibaptis. Berdoalah dengan sungguh-sungguh tentang masa yang sesuai. Kita masih perlu mentaati ibu bapa kita, tetapi kita juga harus mentaati firman Tuhan. Mintalah kepada Tuhan untuk membuka jalan supaya kamu dapat 'terbang' melepasi halangan baptisan tanpa menjatuhkan apa-apa.
Renungkan: Berjalan dengan rendah diri bersama Tuhan Yesus akan membantu kita mentaati perintah 'halangan baptisan'.
DOA
Tuhan Yesus, saya baru menjadi pengikut-Mu. Saya ingin taat kepada perintah-Mu untuk dibaptis, tetapi saya mempunyai beberapa halangan seperti [sebutkan]. Tolong saya untuk taat kepada semua yang Engkau perintahkan. Dengan rendah hati saya berdoa dalam nama-Mu. Amin.
Gereja
Berdoalah supaya kita sentiasa berhati-hati untuk memeriksa hati kita sebelum kita berbicara. Pastikan kita berbicara daripada kasih, bukan daripada kepentingan diri.
Bangsa
Sabah dan Sarawak adalah bahagian penting dalam Malaysia. Berdoa agar kekayaan tanah air kita akan dinikmati secara adil oleh semua orang, dan agar ada sukacita di seluruh pelosok negara!




Comments