top of page

Hari 11: Memahami Masa Kini

Tema: Memahami Masa (Roma 13:11)


“Hal ini harus kamu lakukan, karena kamu mengetahui keadaan waktu sekarang, yaitu bahwa saatnya telah tiba bagi kamu untuk bangun dari tidur. Sebab sekarang keselamatan sudah lebih dekat bagi kita dari pada waktu kita menjadi percaya..” (Roma 13:11)


Saya dibesarkan di kawasan pedalaman di Sarawak di mana kami tinggal dalam masyarakat yang penyayang yang dikelilingi oleh alam semula jadi. Pada masa itu, kehidupan sangat sukar dan kebanyakan orang tidak memiliki jam penggera. Sebenarnya kami bergantung kepada ayam jantan untuk membangunkan kami. Ketika ayam berkokok pada jam 5 pagi, sudah tibanya masa saya bangun dan bersiap untuk pergi ke sekolah. Saya harus peka dan terjaga, kalau tidak, saya akan terlambat ke sekolah. Begitu juga dengan kehidupan rohani kita. Kita perlu peka dan mendengar jam penggera (iaitu, Firman dan Roh Tuhan), dan bangun serta bersiap siaga untuk bertindak.


Untuk lima hari akan datang, kita akan menumpukan pengabdian kita untuk memahami masa. Dalam Roma 13:11, Rasul Paulus menasihati orang percaya untuk memahami masa kini dan mendesak untuk pemberitaan Injil. Kita perlu memahami apa yang sedang berlaku di dunia hari ini dari sudut pandangan alkitabiah dan kalender Tuhan (Baca tentang tanda-tanda akhir zaman dalam Matius 24). Ketika Tuhan membuka mata rohani kita untuk memahami masa kini, kita perlu berjaga-jaga dan bangun daripada tidur rohani kita. Kita perlu bangun daripada tidur rohani kita dan menyelaraskan semula kehidupan, keluarga, dan gereja kita dengan misi dan tujuan kekekalan Tuhan. Marilah kita seperti lima gadis bijak yang berjaga-jaga dan siap menyambut pengantin bila-bila masa (Matius 25:1-13).

DOA HARI INI:

  • Tuhan yang Maha Kuasa, bukalah mata rohani saya untuk memahami masa kini dari perspektif kekekalan-Mu. Tolong saya untuk menerima dengan iman dan taat kepada pewahyuan daripada Engkau di dalam Alkitab. Tolong saya untuk berjaga-jaga dan bangun daripada tidur rohani. Dalam nama Yesus. Amin!

  • Berdoalah agar Tuhan memberikan pencerahan kepada pekerja senior pelayanan dalam mereka bentuk program harian yang membantu menambah baik kehidupan warga tua secara holistik, termasuk kesihatan rohani, fizikal, emosi, mental, alam sekitar dan hubungan mereka. Doakan agar pelayanan ini berjaya menjangkau masyarakat berhampiran.

  • Kadar migrasi yang tinggi dari luar bandar ke bandar (sekitar 75%) dan kemasukan pekerja asing telah menimbulkan masalah kemiskinan bandar (45% lebih tinggi daripada kemiskinan luar bandar pada tahun 2021). Ini telah menjadi lebih teruk apabila kos sara hidup meningkat. Berdoalah agar ada yang bersuara di kalangan pihak berkuasa untuk memperjuangkan bantuan yang sewajarnya.


40 Hari Doa & Puasa NECF Malaysia: Desakan Masa (Lukas 14:23)


bottom of page