top of page

Hari 18: Pergunakan Setiap Peluang Dengan Baik

Tema: Memahami Masa (Roma 13:11)


Gunakanlah sebaik-baiknya setiap kesempatan yang ada padamu, karena masa ini adalah masa yang jahat. (Efesus 5:16)


Pengurusan masa adalah cabaran terbesar semua orang. Terlalu banyak perkara yang perlu dilakukan dalam masa yang terhad. Ada beberapa perkara yang mustahak dan tidak boleh ditawar-menawar seperti masa tidur, masa bekerja, dan masa bersama keluarga. Selain daripada itu, ada banyak perkara penting yang memerlukan masa dan tumpuan seperti, bersenam, beriadah, beribadah, dan lain-lain. Pembahagian masa yang tidak seimbang akan memberi kesan buruk.

Di sini Paulus memberi alasan mengapa pengurusan masa amat penting kerana kita sedang berada dalam “zaman durjana”.


Mengapakah masa itu amat penting? Masa memiliki tiga elemen penting iaitu hidup, peluang dan ruang.


Masa adalah hidup. Setiap detik masa adalah seperti degupan jantung kita. Setiap makluk memiliki jangka hayat yang ditentukan oleh masa. Bagaimana kita menjalankan hidup kita menentukan jangka hayat.


Masa adalah peluang. Setiap orang diberi 24 jam sehari atau 8760 jam setahun. Setiap jam ini adalah peluang yang menentukan masa depan sama ada baik atau buruk, berjaya atau gagal; sedih atau gembira.


Masa adalah ruang. Masa menyediakan ‘ruang’ (space) untuk seseorang menyediakan diri, menarik nafas panjang, memikir atau menimbangkan sesuatu sebelum membuat keputusan muktamad. Ruang ini penting dalam hidup kita untuk merefleksi dan merenung sesuatu keadaan. Memberi ‘ruang’ kepada orang lain dan diri sendiri amat penting.

Itu sebabnya Rasul Paulus berkata; “pergunakanlah setiap peluang [masa] dengan sebaiknya kerana ini zaman durjana” (ayat 16). Sekiranya kita gagal memanfaatkan masa iaitu hidup, peluang dan ruang yang diberikan oleh Allah, maka kita tidak mampu bertahan dalam zaman durjana ini.


  • DOA HARI INI:

  • Ya Tuhan, berikan kami hikmah dan kebijaksanaan dalam hal pengurusan masa. Banyak peluang baik yang diabaikan, ruang yang tidak dimanfaatkan dan kehidupan yang diboroskan untuk hal-hal duniawi. Tolonglah kami ya Tuhan untuk mempergunakan setiap peluang dan ruang dengan baik untuk kemuliaan Tuhan. Dalam Nama Tuhan Yesus. Amin.

  • Berdoalah agar gereja dengan pelayanan pusat pengumpulan dan pengagihan makanan untuk orang miskin dan memerlukan mendapat bekalan yang baik untuk memenuhi keperluan mereka yang dilayani. Berdoalah agar Tuhan membuka pintu bagi mereka untuk melayani penerima bantuan ini secara individu.

  • Banci Penduduk & Perumahan 2020 menunjukkan bahawa 63.5% penduduk menganut agama Islam, 18.7% Buddha, 9.1% Kristian, 6.1% Hindu, dan 2.7% agama lain. Berdoalah agar kebebasan beragama dapat ditegakkan dan dihormati oleh semua pihak yang berkepentingan dan pihak berkuasa dan agar keharmonian dan persefahaman yang lebih erat antara kumpulan agama yang berbeza.



bottom of page