top of page

3: Yesus Dikutuk


Matius 26:57-68



Tonton video Alkitab Lumo-AVB



Matius 26:57-68 (AVB) 57 Orang yang menangkap Yesus membawa-Nya kepada Imam Besar Kayafas. Di situ ahli Taurat dan tua-tua telah berhimpun. 58 Petrus mengikut dari jauh ke bahagian laman dalam rumah imam besar, lalu masuk dan duduk dalam kalangan hamba di situ untuk melihat kesudahan perkara itu.

59 Ketua-ketua imam dan seluruh Majlis Agama berusaha mencari kesaksian terhadap Yesus supaya dapat membunuh-Nya. 60 Tetapi mereka tidak berjaya sungguhpun ramai saksi palsu yang tampil. Akhirnya dua orang saksi tampil 61 dengan kesaksian: "Orang ini telah berkata, 'Aku dapat memusnahkan Bait Allah dan membinanya semula dalam tiga hari.' "

62 Imam besar berdiri lalu berkata kepada Yesus, "Tidakkah Kamu mahu menjawab apa-apa? Apakah yang didakwakan oleh mereka ini terhadap-Mu?" 63 Tetapi Yesus berdiam diri.

Imam besar berkata kepada-Nya, "Demi Allah yang hidup, katakan kepada kami, adakah Kamu ini Kristus, Anak Allah?" 64 Yesus berkata kepadanya, "Benarlah seperti katamu. Namun demikian, Aku berkata kepadamu, kemudian hari kelak kamu akan melihat Anak Manusia duduk di sebelah kanan Yang Maha Kuasa, dan datang dalam awan di langit."

65 Kemudian imam besar mengoyak-ngoyakkan pakaiannya sambil berkata, "Dia telah melafazkan kata-kata kufur! Apa perlunya saksi lagi? Sekarang kamu telah mendengar kata-kata kufur-Nya! 66 Bagaimana pendapatmu?" Mereka menjawab, "Dia patut dibunuh."

67 Setelah itu, mereka meludahi muka-Nya dan memukul-Nya. Ada yang menampar-Nya. 68 Mereka berkata, "Bernubuatlah pada kami, hai Kristus! Siapa yang memukul-Mu?"




Mereka yang menangkap Yesus membawaNya kepada Imam Besar Kayafas, di mana ahi-ahli Taurat dan tua-tua telah berhimpun. Petrus, mengikut Yesus dari jauh. Ketua-ketua imam dan seluruh Majlis Agama berusaha untuk mencari bukti untuk membunuhNya. Tetapi, mereka tidak berjaya, walaupun ramai saksi-saksi palsu yang tampil.




Kayafas bertanya kepada Yesus, “Adakah Kamu ini Kristus, Anak Allah?” Yesus menjawab, "Benarlah seperti katamu. Namun demikian, Aku berkata kepadamu, kemudian hari kelak kamu akan melihat Anak Manusia duduk di sebelah kanan Yang Maha Kuasa, dan datang dalam awan di langit." Kayafas, mengoyakan pakaiannya dan menyatakan bahawa Yesus telah melafazkan kata-kata kufur. Dan keputusan telah diluluskan bahawa Yesus harus mati. Selepas itu, mereka meludahi muka Yesus dan memukulNya.


Ada beberapa sebab mengapa mereka mahu Yesus dibunuhkan.

  • Yesus menentang autoriti dan memanggil mereka hipokrit (munafik)

  • Yesus melanggar hukum pemerhatian Sabat. Yesus menyembuhkan orang pada hari Sabat, tetapi orang Yahudi pada ketika itu, melihat “pekerjaan” tersebut adalah dilarang pada hari Sabat.

  • Yesus bersama dengan orang-orang yang “kotor” dan “jijik” seperti orang yang berdosa, pelacur dan pemungut cukai.

  • Yesus menyatakan bahawa Dia adalah Anak Allah dan Mesias yang dinantikan. Pemimpin Yahudi tidak boleh menerima kenyataan tersebut.


Orang yang melafazkan kata-kata kufur (blasphemy) akan dihukum mati dengan merejam (stoning).


Bayangkan, Yesus tidak berbuat salah apa-apa pun, tetapi, dia dilemparkan kutukan, dipukul dan diludahi. Peristiwa ini mengingatkan kita supaya kita tidak meninggikan diri kita dengan menghakimi orang lain. Ya, Alkitab memanggil kita untuk memberikan hormat kepada mereka yang berkuasa, tetapi kehendak Tuhan dan Firman Tuhan haruslah menjadi yang pertama dan utama di dalam hidup kita.


Yohanes 3:17 Allah mengutus Anak-Nya ke dunia bukan untuk menghakimi dunia tetapi supaya melalui Dia, dunia ini diselamatkan.


Pernahkan kita berfikir, siapakah yang menyebabkan Yesus mati di atas salib.


Ada dua jawaban.


Pertama, ialah Allah. Alkitab menyatakan bahawa ini adalah rancangan Tuhan dari awal, bermula dari korban yang terawal sampai kepada korban yang terakhir. Alkitab telah menyatakan bahawa Yesus akan mati di atas salib ratusan tahun sebelumnya.


Kedua, ialah kita semua. Kita yang menyebabkan Yesus mati di atas salib. Roma 4:25 (AVB) Dia telah diserahkan kepada kematian kerana dosa kita dan dibangkitkan semula kepada kehidupan untuk pembenaran kita. Kerana Yesus mati di atas salib, dosa kita diampui.


Alkitab menyatakan bahawa tiada lagi hukuman bagi orang yang ada di dalam Kristus.


Roma 8:1 (AVB) Dengan demikian, sekarang tidak ada hukuman bagi orang yang ada dalam Kristus Yesus.



Renungan

  1. Yesus mengambil tempat kutukan mati kita di atas salib. Apakah perasaan anda? Apakah respon kita?

  2. Dengan mengetahui bahawa Yesus telah mengambil tempat kita, apakah yang akan anda serahkan kepada Yesus?


Doa

Tuhan, saya serahkan hidup saya ke tangan Mu. Saya orang yang berdosa. Engkau adalah Tuhan yang adil. Upah dosa ialah kematian. Pada masa yang sama, Engkau adalah Tuhan yang mengasihi saya. Kerana keadilan dan kasih, Yesus harus mengambil tempat saya yang telah dikutuk. Terima kasih atas pengorbanan Mu. Ajar kami, supaya mulai hari ini, saya akan menjadi lebih seperti Kristus. Di dalam nama Yesus Kristus, kami berdoa. Amen.

Elder AWK

bottom of page