Jadilah Pelayan Tuhan yang Rendah Hati
- Komuniti Digital 05

- 2 days ago
- 1 min read

'Begitu juga dengan kamu. Apabila kamu telah berbuat segala yang diperintahkan kepadamu, kamu hendaklah berkata, ‘Kami ini hamba yang tidak layak menerima apa-apa; kami cuma menjalankan kewajipan kami.’ ” ' (Lukas 17:10) AVB
Yesus mengajar para pengikut-Nya bahawa apabila mereka telah melakukan segala sesuatu yang diperintahkan kepada mereka, mereka harus mengakui bahawa mereka tidak patut menerima sebarang pujian atau ucapan terima kasih daripada sesiapa pun. Hal ini kerana mereka hanyalah melaksanakan tugas yang telah diperintahkan Tuhan kepada mereka.
Sebagai pelayan Tuhan, sama ada rasul, hamba Tuhan, atau pengikut Kristus, mereka wajib melaksanakan segala tugas yang diberikan dengan sebaik mungkin demi memuliakan Tuhan yang memberi perintah itu. Mereka tidak bekerja untuk kepentingan diri sendiri, tetapi untuk Tuhan yang telah mempercayakan tugas tersebut. Oleh itu, mereka harus melakukannya dengan sepenuh hati dan segenap kekuatan.
Setiap pelayan Tuhan tidak layak menerima penghargaan atau pujian atas pelayanan yang telah dilakukan, kerana segala pekerjaan itu adalah kewajipan mereka berdasarkan hukum Allah yang pertama dan terutama, iaitu mengasihi Tuhan dengan segenap hati, jiwa, dan kekuatan, serta melakukan yang terbaik untuk-Nya.
Sebagai pelayan Allah yang baik, kita hanya melakukan apa yang diperintahkan oleh-Nya. Segala hasil dan keberhasilan dalam pelayanan kita bukanlah kerana kekuatan kita sendiri, tetapi semata-mata oleh anugerah Tuhan yang bekerja dalam diri kita. Maka, tidak ada alasan bagi kita untuk bermegah atau meninggikan diri, kerana segala sesuatu berlaku hanya oleh kehendak dan kuasa Tuhan.
Doa: Ya Bapa yang di syurga, terima kasih kerana telah mempercayakanku untuk melayani-Mu. Walaupun aku tidak layak, Engkau tetap memilihku untuk memikul tugas yang mulia ini. Pakailah hidupku sepenuhnya untuk kemuliaan nama-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa, amin.
Pr Patrick Taie




Comments