top of page

Kejahatan Bertambah


Ayat: Matius 24:12-13,

“Kejahatan semakin merebak sehingga kasih sayang hampir luput dari hati manusia. Namun demikian, sesiapa yang bertahan ke saat akhir akan diselamatkan.”


Perkataan ‘kejahatan’ boleh juga diterjemahkan sebagai ‘kedurhakaan’ atau ‘kedurjanaan’ dan ‘lawlessness’ dalam bahasa English. Akar segala ‘kejahatan’ adalah pemberontakan (rebellion) dan penolakan terhadap Allah dan ini adalah dosa - pelanggaran atau pengingkaran terhadap hukum atau perintah Allah. Ini dijelaskan dalam 1 Yohanes 3:4 (TB), “Setiap orang yang berbuat dosa, melanggar juga hukum Allah, sebab dosa ialah pelanggaran hukum Allah.


Nubuatan keempat diakhir zaman ialah peningkatan pemberontakan terhadap Allah. Dalam ertikata lain, dosa semakin bertambah sehingga ‘kasih Allah’, iaitu hukum yang pertama dan yang terutama hampir luput dari hati manusia.


Apakah yang terjadi bila kasih Allah semakin luput dari hati manusia? Paulus menjelaskan keadaan ini kepada Timotius; “Ketahuilah, bahawa pada akhir zaman, akan datang suatu masa yang sukar. Manusia akan menjadi pencinta diri, pencinta wang, bercakap besar, berlagak bongkak, mencaci maki, ingkar terhadap ibu bapa, tidak bersyukur, tidak suci, tidak mengasihi, tidak mengampuni, suka memfitnah, tidak menguasai diri, buas dan pembenci kebaikan, khianat, gopoh, angkuh, serta lebih mencintai keseronokan daripada mengasihi Allah. Mereka menjalankan kewajipan agama tetapi menyangkal kuasanya. Jauhilah orang demikian.” (2 Timotius 3:1-5).


Apakah respon kita ketika melihat keadaan ini terjadi disekeliling kita? Mungkin juga ianya terjadi dengan diri sendiri? Kejahatan hanya dapat dikalahkan dengan menyerahkan diri kita kepada perbenaran seperti apa yang dikatakan oleh Paulus dalam Roma 6:19; “Aku menyampaikan perkara ini melalui istilah kehidupan manusia kerana kamu lemah dalam diri tabiimu. Sebagaimana dahulu kamu telah mempersembahkan bahagian-bahagian tubuhmu sebagai hamba kepada kekejian dan kedurjanaan yang sentiasa meningkat, maka sekarang kamu hendaklah mempersembahkan dirimu sebagai hamba kepada perbenaran yang membawa kepada penyucian.”


Perbenaran ini diperoleh hanya melalui iman kepada Yesus Kristus. Marilah kita buka hati untuk menerima Perbenaran melalui Yesus Kristus untuk menyucikan kita dari segala kejahatan dan kedurjanaan yang semakin meningkat diakhir zaman ini.


Doa: Bapa di syurga, kami sedar kejahatan dan kedurjanaan semakin meningkat dan kami tidak terlepas daripadanya tanpa pertolongan-Mu. Kami menyerahkan seluruh bahagian hidup kami kepada perbenaran yang membawa kepada penyucian hidup kami dari berdosa. Mampukan kami bertahan hingga ke saat akhir dan diselamatkan. Dalam nama Tuhan Yesus. Amen!


Eddy M. Yasir

bottom of page