top of page

Hati Yesus Terhadap Rumah Tuhan

ree

“…Yesus berkata, ‘Di dalam Alkitab tertulis bahawa Allah berfirman, Rumah-Ku akan disebut rumah tempat berdoa. Tetapi kamu menjadikannya tempat persembunyian perompak!’...” Lukas 19:46


Apabila Perayaan Paskah orang Yahudi hampir tiba, Yesus pergi ke kota Yerusalem dan masuk ke dalam Rumah Tuhan. Sewaktu Dia masuk ke dalam Rumah Tuhan, Dia melihat orang ramai menjual lembu, domba dan burung merpati; penukar wang juga sedang berniaga di halaman Rumah Tuhan.


Kerana orang berjual beli di halaman Rumah Tuhan, Yesus membuat cemeti daripada tali lalu mengusir semua orang beserta binatang-binatang mereka keluar dari Rumah Tuhan, baik domba mahupun lembu. Dia menterbalikan meja para penukar wang sehingga wang mereka berhamburan.


Dia melakukan semuanya ini kerana cintanya terhadap Rumah Tuhan. Rumah Tuhan haruslah suci dan bebas daripada segala unsur duniawi. Orang-orang menggunakan masa Perayaan Paskah untuk memperoleh keuntungan peribadi. Tujuan mereka berjual beli di halaman Rumah Tuhan bukanlah untuk menyembah Tuhan, tetapi demi kepentingan mereka sendiri.


Yesus tidak mahu Rumah Tuhan dicemari dengan kegiatan seperti itu. Itulah sebabnya Dia mengusir semua penjual dan pembeli di dalamnya. Yesus mahu Rumah Tuhan menjadi tempat orang datang untuk menyembah, berdoa dan bersekutu dengan Tuhan.


Rumah Tuhan mestilah bebas daripada semua kegiatan yang mencemarkan kekudusan-Nya. Tuhan itu kudus, maka Rumah-Nya juga harus kudus dan bebas daripada apa yang menajiskannya. Oleh itu kita harus menghindarkan segala unsur duniawi yang cuba dibawa masuk ke dalam Rumah Tuhan.


Doa: Tuhan, ampunilah kami atas segala kelalaian terhadap kekudusan Rumah-Mu. Berilah kami keberanian untuk menyatakan kebenaran dalam setiap kegiatan yang diadakan di Rumah-Mu, agar kekudusan Rumah-Mu tetap terpelihara. Di dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa, amin.


Pr Patrick Taie

Comments


bottom of page