Kejayaan dalam Renang

Penghalang kepada Kerendahan Hati - Hari 30
Ayat Fokus: Amsal 27:2, Yeremia 9:23-24 dan 1 Korintus 1:31
Gimbang mempunyai banyak perkara untuk dibanggakan. Dia merupakan seorang perenang yang telah mencapai kejayaan besar. Dia telah mewakili bandar, negeri, dan kini, negara! Itu memang satu saat yang membanggakan. Tetapi dia teringat apa yang Cikgu Hannah telah ajarkan dalam kelas remaja pada hari Ahad. Cikgu Hannah membacakan Amsal 27:2 kepada mereka:
"Biarlah orang lain memujimu, jangan mulutmu sendiri, bahkan orang yang tidak kaukenal, bukan bibirmu sendiri.”
Cikgu Hannah berkata tidak salah untuk bersaing, mencapai kecemerlangan dan kejayaan, tetapi janganlah memuji diri sendiri. Kejayaan dan pujian boleh menjadi berhala dan menghalang kita daripada bertumbuh dalam kerendahan hati. Kita perlu berjalan dengan rendah hati bersama Tuhan. Sebenarnya, kerendahan hati adalah perkara yang Tuhan panggil kita untuk amalkan setiap hari.
Cikgu Hannah juga memberitahu mereka bahawa Rasul Paulus merupakan seorang yang berpendidikan tinggi dan pelajar cemerlang. Dia merupakan seorang Farisi yang terkemuka. Dia telah mencapai begitu banyak kejayaan dalam hidup ini, namun dia menganggap semuanya tidak bernilai. Sebaliknya, dia mahu memperoleh Kristus dalam hidupnya, dan memiliki kebenaran serta kebaikan Kristus (lihat Filipi 3:8).
Paulus sebenarnya mempunyai banyak perkara untuk dibanggakan. Kamu boleh membaca senarainya dalam 2 Korintus 11:16-12:10. Tetapi dia berkata kita tidak seharusnya meletakkan keyakinan pada diri sendiri. Paulus ada memuji Febe dan orang lain (lihat Roma 16), tetapi perkara terbaik yang boleh dibanggakan oleh orang yang bijaksana adalah bahawa dia memahami dan mengenali Tuhan serta kasih setia-Nya, dan bahawa Tuhan itu adil dan benar.
Jadi, walaupun kita mempunyai kejayaan dalam renang atau apa sahaja yang kita lakukan, marilah kita bermegah tentang apa yang Yesus telah lakukan bagi kita, dan bukan tentang diri kita sendiri. Pastikan juga kita mengucap syukur dan memuji Tuhan untuk semuanya.
Renungkan: Bermegahlah dalam Tuhan dan apa yang Dia lakukan untuk kita.
DOA
Ya Allah Bapa, tolong buangkan kesombongan saya dan tabiat saya yang suka bermegah tentang apa yang saya lakukan dengan baik. Bantulah saya untuk berhenti menunjuk-nunjuk kejayaan saya kerana ia menghalang saya daripada bertumbuh dalam kerendahan hati. Bantulah saya ingat bahawa semua perkara baik yang saya miliki datang daripada Engkau. Bantulah saya untuk lebih memuji Engkau untuk segala pemberian itu.
Gereja
Allah Bapa, bantulah gereja untuk memberikan yang terbaik dalam melayani Engkau dan jagalah hati kami daripada kesombongan dan kebodohan.
Bangsa
Allah Bapa, semoga para pemimpin negara kami menjadi rendah hati, bijaksana dan mempunyai pertimbangan yang baik. Lindungilah negara kami daripada pencuri dan perompak yang mencuri, membunuh dan memusnahkan kekayaan serta sumber kami. Dalam nama Yesus saya berdoa. Amin.




Comments