Kerana Iman, Kesembuhan Terjadi
- Komuniti Digital 05

- 11 minutes ago
- 1 min read

' Apabila Yesus melihat mereka, Dia berkata kepada mereka, “Pergilah dan tunjukkan dirimu kepada imam-imam.” Dalam perjalanan, mereka pun menjadi tahir. ' (Lukas 17:14) AVB
Ketika Yesus memasuki sebuah desa, Dia melihat sepuluh orang yang menghidap penyakit kulit yang sangat teruk datang menjumpai-Nya. Lalu Yesus berkata kepada mereka supaya mereka “Pergilah dan tunjukkan dirimu kepada imam-imam.” Maka mereka pun pergi, dan ketika mereka masih dalam perjalanan, mereka disembuhkan.
Mereka datang kepada Yesus kerana telah mendengar tentang Dia. Apa yang mereka dengar itu telah meneguhkan keyakinan dan harapan mereka untuk memohon pertolongan daripada-Nya. Oleh sebab itu, mereka datang kepada Tuhan Yesus untuk memohon penyembuhan.
Dari kejauhan mereka berseru kepada Yesus memohon pertolongan, kerana penyakit yang mereka alami menyebabkan mereka tidak dapat mendekati-Nya. Namun, apabila Yesus mendengar seruan mereka, Dia menyuruh mereka pergi berjumpa dengan imam untuk memeriksa diri mereka.
Ketika Yesus meminta mereka pergi berjumpa imam, dengan penuh keyakinan dan kepercayaan terhadap perintah Yesus itu, mereka disembuhkan. Mereka tidak mempersoalkan perintah Tuhan Yesus, sebaliknya mereka taat kepada arahan-Nya. Oleh kerana iman dan ketaatan itu, kesembuhan pun terjadi kepada mereka semua.
Disebabkan oleh iman, kesembuhan berlaku, walaupun Yesus tidak menyentuh tubuh mereka, namun kesembuhan itu tetap terjadi secara luar biasa. Hal ini mengajar kita bahawa melalui iman, perkara-perkara luar biasa pasti akan berlaku.
Doa: Ya Bapa yang di syurga, berikanlah aku iman yang teguh dan kuat untuk percaya kepada perintah-Mu dalam segala perkara dalam hidup ini. Jauhkanlah keraguan dalam hatiku terhadap pertolongan-Mu, agar dalam setiap keadaan aku tidak takut untuk melaluinya kerana iman kepada-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa, amin.
Pr Patrick Taie




Comments