Kerendahan Hati Mendorong Penguasaan Diri
- 1 hour ago
- 2 min read

Manfaat Kerendahan Hati - Hari 21
Ayat Fokus: Galatia 5:22-23 dan kitab Nehemia
Pernahkah kamu melihat ayah kamu atau mana-mana lelaki dewasa lain menangis? Sebenarnya iu tidak mengapa. Mereka juga perlu menangis kadangkala. Nehemia di dalam Alkitab juga menangis. Dia menangis berhari-hari lamanya!
Dia telah mendengar bahawa tembok Yerusalem telah runtuh dan pintu-pintu gerbangnya musnah dijilat api. Ini bermakna Kota Daud, tempat berdirinya rumah Tuhan, tidak lagi mempunyai perlindungan. Dia berada JAUH di Parsi sebagai jururasa santapan raja, jadi dia tidak boleh bangun begitu sahaja dan pergi untuk memperbaikinya.
Tetapi dia berseru kepada Tuhannya yang agung dan dahsyat, bertanya kepada-Nya apa yang perlu dilakukan. Akhirnya, raja Parsi membenarkan dia pergi untuk membina semula tembok itu dan memimpin orang di sana selama beberapa tahun.
Malangnya, Nehemia mempunyai musuh yang membenci orang Yahudi. Mereka cuba pelbagai cara untuk menghalang Nehemia daripada membina semula tembok itu. Tetapi setiap kali itu berlaku, Nehemia akan berpaling dan berdoa kepada Tuhan. Dia menggunakan penguasaan diri dan memilih untuk tidak melawan. Sebaliknya, dia tetap rendah hati dan menunjukkan bahawa dia percaya Tuhan yang memegang kendali.
Penguasaan diri adalah salah satu buah Roh. Setiap pengikut Yesus mempunyai Roh Kudus dan boleh memupuk buah ini.
Penguasaan diri menahan kita daripada menjadi marah dan menyakiti orang lain. Ia menghalang kita daripada makan berlebihan, atau makan terlalu sedikit. Apabila kita tergoda untuk melakukan kesalahan, penguasaan diri akan mengingatkan kita untuk berhenti. Ia juga menahan kita daripada menjadi begitu sombong sehingga kita tidak mempedulikan orang lain. Ini adalah manfaat kerendahan hati yang bekerja dalam hidup kita.
Marilah kita menjadi seperti Nehemia yang, melalui kerendahan hatinya, membiarkan Tuhan membantunya bertumbuh dalam penguasaan diri. Tuhan menghormati dia dengan membantu dia dan umatnya membina tembok besar di sekeliling Kota Daud. Mereka hanya mengambil masa 52 hari! Itu adalah satu mukjizat daripada Tuhan!
Renungkan: Biarlah Roh Kudus menumbuhkan kerendahan hati dan penguasaan diri dalam hidup kamu.
DOA
Bapa, Engkau adalah Tuhan kami yang agung dan dahsyat. Engkau telah mengutus Anak-Mu Yesus untuk menyediakan penyelamatan bagi saya. Apabila saya menerima Yesus, Engkau menghantar Roh Kudus kepada saya. Semoga Roh-Mu membimbing saya untuk bertumbuh dalam penguasaan diri yang lebih besar.
Gereja
Tuhan, kami membawa keperluan dan kepentingan orang lain kepada-Mu terlebih dahulu. Ajarlah kami bagaimana untuk mengambil berat tentang orang lain dahulu, dan juga tentang diri kami sendiri. Dengan rendah hati saya berdoa dalam nama Yesus. Amin.
Bangsa
Malaysia perlu menghasilkan lebih banyak makanan untuk rakyat kita. Berdoalah agar para pemimpin kita diberikan kebijaksanaan untuk melakukan perkara ini dengan baik.




Comments