top of page

Makna Pelangi Yang Sebenar

Keindahan pelangi yang muncul selepas hujan mengundang teruja bagi setiap orang yang melihat fenomena alam itu. Namun, disebalik munculnya pelangi terdapat satu janji yang termeterai sejak zaman dahulu dan masih ada sehingga kini. Perjanjian itu dapat ditemukan di firman-Nya;-

 

Kejadian 9:15-17 "Dan Aku akan mengingat perjanjian-Ku dengan engkau dan dengan segala makhluk hidup, dan air bah tidak akan memusnahkan lagi segala sesuatu yang hidup, dan apabila Aku melihat pelangi di awan-awan, maka Aku akan ingat akan perjanjian yang kekal antara Aku dan segala makhluk hidup di bumi."


Kemudian Tuhan berfirman kepada Nuh: "Ya, pelangi itu adalah tanda perjanjian yang Kuadakan dengan segala makhluk di bumi."

 

Makna pelangi ini bukan sahaja menunjukkan tiada lagi air bah sebagai penghakiman atas dosa manusia tetapi kesetiaan Tuhan dalam karya keselamatan-Nya yang mengaruniakan anak-Nya yang tunggal iaitu Yesus Kristus sebagai Juruselamat kita. Ada dua perkara yang dapat kita pelajari tentang pelangi ini;

1. Kedahsyatan, kemegahan dan kemuliaan Tuhan

cara Tuhan bekerja menunjukkan betapa berkuasanya Pencipta Alam Semesta ini. Ketika Air bah melanda bumi, itu dapat dilihat sebagai malapetaka bagi dunia tetapi ianya dapat dilihat juga sebagai kemuliaan Tuhan yang turun ke atas bumi, membersihkan bumi dan menjanjikan keselamatan. Oleh itu, marilah kita tetap takut akan Tuhan dan mengagumi perbuatan-Nya dengan penyembahan yang tertinggi bagi Sang Pencipta.

 

2. Permulaan yang baharu

Perubahan atau peralihan yang terjadi ini mengingatkan kita supaya peka akan waktu-Nya Tuhan. Ramai yang telah tahu tentang pelangi tapi masih lagi tidak mengikuti musim peralihan dan tetap tinggal di hidup yang lama. Maka, ramai yang tersandung dalam musim peralihan di era yang baru. Oleh itu, penting bagi kita merenungi hidup kita supaya kita tidak tertinggal di hidup yang lama.

 

Pengertiaan tentang pelangi ini adalah sesuatu yang luar biasa dan wajar bagi orang percaya menjadi tekun dalam pengharapannya. Walaupun majoriti dunia kini memandang pelangi sebagai maksud yang berbeza, (iaitu: LGBTQ) hendaklah orang percaya tidak terpengaruh dan mengikat maksud pelangi sebagai suatu yang sama dengan dunia. Pelangi yang dicemari ini tidak dapat dibendung pemahamannya namun kita dapat berdoa supaya orang percaya tetap kuat dalam generasi yang bengkok hatinya dan tidak terpengaruh dengan pencemaran ideologi dunia.

 

 Doa Hari Ini:

1. Berdoa bagi generasi kini supaya mereka rentan dengan pencemaran ideologi dunia yang bertentangan dengan firman Tuhan. Doakan agar mereka tidak takut mengakui kebenaran yang mereka pegang dan bertahan terhadap pengucilan orang dunia terhadap mereka.

 2. Berdoa untuk pemulihan hati anak-anak remaja. Doakan supaya mereka bertumbuh dengan identiti Kristus melalui komuniti orang-orang percaya yang sanggup membimbing dan mengajar dengan kasih.

 3. Berdoa supaya ramai jiwa yang akan menerima kunci kehidupan dan tidak akan tertimpa dengan amarah Tuhan pada akhir zaman ini. Bertekun dalam perlumbaan dan mencuba mengakhiri dengan baik.

 

Enedy, SBA

 

bottom of page