top of page

Manusia yang Paling Rendah Hati

  • 5 days ago
  • 2 min read

Berjalan dalam Kerendahan Hati - Hari 3

Ayat Fokus: Filipi 2:3–8


Ada ramai wira di dalam Alkitab. Bolehkah kamu sebutkan beberapa daripada mereka? Salah satunya ialah Bapa Abraham, yang mempunyai iman yang sangat teguh kepada Tuhan. Dia adalah bapa kepada semua orang yang beriman kepada Tuhan.


Kemudian ada Musa, yang merupakan seorang paling lemah lembut. Dia memerlukan SANGAT banyak kesabaran kerana orang ramai sering menyukarkan hidupnya. Simson pula adalah seorang hakim, tetapi apa yang lebih luar biasa ialah dia juga merupakan seorang lelaki terkuat. Dia pernah memikul pintu gerbang kota Gaza dan berjalan hingga ke puncak sebuah bukit. Jaraknya kira-kira 60 kilometer, seperti perjalanan dari Kuala Lumpur ke Genting Highlands!


Saya rasa Ratu Ester adalah yang paling berani. Dia harus menyelamatkan bangsanya dengan menghadap raja yang menggerunkan. Jika raja tidak menerimanya masuk ke balai takhta, dia boleh dihukum mati. Syukur, dia diselamatkan dan begitu juga bangsanya.


Raja Salomo ialah manusia yang paling bijaksana. Dia meminta hikmat daripada Tuhan untuk memerintah bangsanya, dan Tuhan menjadikannya sangat bijaksana. Namun, ia berakhir dengan sangat menyedihkan kerana dia menganggap remeh kurniaan itu dan berpaling kepada allah-allah lain. Biarlah ini menjadi peringatan kepada kita supaya berhati-hati apabila kita merasakan diri kita hebat dalam sesuatu perkara. Jangan lupa bahawa semuanya kerana Tuhan yang menolong kita.


Wira terbaik sepanjang zaman ialah Yesus. Dia adalah manusia yang paling rendah hati yang pernah hidup di bumi ini. Walaupun Dia boleh menjadi yang paling sombong kerana Dia sempurna dalam segala hal, Dia telah datang dari kemuliaan syurga untuk hidup dalam keluarga yang paling sederhana. Dia adalah manusia sepenuhnya dan juga Tuhan sepenuhnya. Jadi, Dia mempunyai banyak perkara untuk dimegah-megahkan tetapi Dia memilih untuk menjadi rendah hati. Kita perlu belajar meneladani kerendahan hati Yesus.


Renungkan: Adakah kamu akan meneladani kerendahan hati Yesus?


DOA

Bapa di syurga, terima kasih kerana mengutus Yesus, manusia yang paling rendah hati, ke bumi untuk kami. Saya mahu belajar tentang kerendahan hati-Nya dan cara-cara untuk meneladani-Nya dalam hidup saya.


Gereja

Tuhan Yesus, biarlah gereja-Mu menjadi teladan kerendahan hati dan kasih kepada orang lain.


Bangsa

Kami berdoa untuk para Raja dan pemimpin kami supaya sentiasa melakukan apa yang benar di mata-Mu—untuk mengasihi dan menjaga semua rakyat Malaysia dengan adil dan saksama. Dalam nama-Mu yang paling mulia. Amin.

Comments


bottom of page