top of page

Melepaskan Pengampunan

Dalam Matius 18 kita membaca dan belajar satu prinsip tentang pengampunan, iaitu orang yang telah mengalami dan menyedari bahawa dirinya diampuni serta menghargai kasih kurnia yang telah diterimanya akan mengampuni orang lain.

Racun yang menyakitkan ramai orang ialah sikap menyimpan sakit hati, kepahitan, dan rasa benci terhadap orang yang pernah menyakiti kita.

Apabila kita menyimpan rasa pahit, benci, dan tidak mahu mengampuni, sikap ini akan mempengaruhi interaksi kita dengan orang lain.

Semalam saya sebut tentang A dan B. Rasa pahit dan sakit hati terhadap A bermula apabila saya dengan ramah mempelawa dia, yang punya gelar, masuk ke dalam rumah kami dan mempelawanya minum kopi serta makan roti. Dia mengatakan sesuatu tentang rumah kami yang membuat saya rasa terhina. Saya terlupa Tuhan seketika, lalu saya menghalau dia keluar dari rumah kami. Dia tinggal dalam sebuah banglo. Saya tidak sangka ada manusia seperti itu. Setelah kita berkongsi kopi dan roti, sampai hati menghina rumah kita.

Masa berlalu berbulan-bulan. Saya tidak sedar sikap saya itu mempengaruhi sikap saya terhadap orang lain.

Ada seorang peribadi B. Orang yang sangat baik sebenarnya. Suatu hari saya minta didoakan. Saya tersinggung dengan kata-kata permulaan doanya. Saya pun mula tidak menyukainya. Bermula dari hari itu saya mengelak persekutuan pastor-pastor yang orang itu hadiri. Ini berlangsung beberapa bulan. Campur dua itu menjadi lebih setahun.

Kesedaran timbul apabila Tuhan menegur saya. Teguran datang melalui seorang pastor sewaktu saya menterjemahkan khutbahnya dari bahasa Inggeris ke Bahasa Malaysia. Sementara kami sedang berkhutbah, dia tiba-tiba beralih kepada saya dan berkata, “Jubilie, saya ada pesan Tuhan untuk engkau.” Dia memandang tepat ke muka saya. Semua orang yang terdiri daripada para pemimpin dan pastor gereja yang sedang berretreat pun memperhati. “Ada dua orang yang dengan mereka engkau perlu bereskan sesuatu. Bereskan perkara itu agar tidak menghalang engkau daripada dipakai oleh Tuhan.” Selepas mengatakan itu, dia menyambung khutbahnya dan saya meneruskan terjemahan khutbah tersebut.

Saya terjumpa peribadi A di kedai mamak pada suatu malam. Saya dekati dia. “Ada yang saya mahu selesaikan dengan anda,” saya katakan. “Selesai apa?! Saya bukan ada hal sama kamu!!??” Dia membalas dengan nada tinggi. Sepintas lalu di minda terlintas satu senario saya menyambar kerusi yang berdekatan lalu melanyak-lanyak dia di tempat itu. Tetapi syukur saya sedar diri. Saya pun menghulurkan tangan kanan dan berkata, “Betul, bro tiada hal dengan saya. Saya yang ada hal sama bro. Ini tangan saya minta maaf. Minta maaf saya halau bro dari rumah hari itu….” Dia menyambut tangan saya dan kami bersalaman. Pada ketika itu, masalah tidak mahu mengampuni yang seperti Gunung Kinabalu ranap sama sekali!

Bagaimana dengan peribadi B? Dia tidak tahu saya menyimpan kepahitan terhadap dirinya. Tetapi bila dibandingkan A dan B, maka sakit hati terhadap B hanya seperti sebutir pasir. Namun sebutir pasir kepahitan pun jangan dibiarkan berakar dalam hati. Saya ternampak dia dari jauh dan dia pun nampak saya. “Hai, Pastor Jubilie…!” Dia menyapa dari jauh dengan ramah seperti biasa. Saya pun membalas, “Hai… Pastor (B),” sambil tersenyum lebar. Pada masa itu juga lenyaplah rasa pahit yang sebesar sebutir pasir itu.

Setelah titik itu, hubungan saya dengan isteri dan anak-anak pun bertambah baik, dan beberapa tahun selepas itu saya mula menulis blog bernama Pena Rajawali, yang kemudian berpindah ke Facebook Pena Rajawali dan sekarang ke Facebook Pro Jubilie Apin (Pena Rajawali).

Lepaskan pengampunan kerana kita telah menerima kasih kurnia pengampunan. Terhadap orang yang sudah tiada, lepaskan pengampunan dalam doa di hadapan Tuhan. Kita mengampuni kerana kita tidak mahu terus berada dalam penjara kepahitan yang hanya akan memakan diri, sebagaimana cuka yang hanya akan memudaratkan bekas yang menyimpannya. Petrus datang mendapatkan Yesus lalu bertanya, “Tuhan, jika saudaraku berdosa terhadapku, berapa kalikah harus kuampuni dia? Sehingga tujuh kali?” Yesus menjawab, “Bukan tujuh kali. Tujuh puluh kali tujuh kali. Begitulah Bapa-Ku yang di syurga akan memperlakukan setiap orang daripadamu yang tidak mengampuni saudaranya dengan ikhlas.


Matius 18:21-22,35

Mari kita jalani tahun 2026 ini dengan hati yang sembuh dan merdeka, dengan mengampuni semua orang yang pernah menyakiti kita. Oleh Pr Jubilie Apin Sumber : Facebook @ jubilie apin Kredit Gambar : KD/Joshua & Jethro

Comments


bottom of page